Ragam selebriti dan baju raya - Utusan Malaysia

Ragam selebriti dan baju raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jika bercakap mengenai sambutan hari raya Aidilfitri, golongan selebriti tentunya tidak terlepas daripada menjadi bahan bualan dan perhatian ramai mengenai persiapan masing-masing atau bahkan ketika lebaran telah menjelma sekali pun.

Maklum sahajalah, sudah namanya figura awam. Antara yang menjadi topik pilihan, tentu sahaja mengenai perbandingan penampilan dan imej raya siapa yang paling menyerlah pada saban tahun.

Ini bukan soal mahu meraih piala ‘Siapa Paling Cantik dan Bergaya’. Tetapi ragam selebriti ini menyaksikan bagaimana mereka meraikan sambutan lebaran itu dengan cara, selera dan bahagia masing-masing.

Untuk itu, Hits mengumpulkan ragam lima selebriti tempatan yang mana penampilan mereka menjadi perhatian pada tahun ini.

Rozita Che Wan

Pelakon jelita, Rozita Che Wan atau mesra disapa dengan panggilan Che Ta antara yang tidak akan terlepas dari tumpuan lensa kamera. Setiap kali lebaran, persalinan baju raya wanita itu bersama keluarga akan mencuri perhatian warga maya.

Sehingga 6 Syawal, Che Ta sudah menggayakan enam persalinan baju raya yang kebiasaannya menyaksikan dirinya tampil sedondon bersama suami dan anak-anak. Bezanya, cuma air tangan daripada pereka fesyen yang berbeza.

Lantaran itu, tidak mustahillah mengapa dia sering dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya yang mahu melihat apa pula ‘si juara’ ini gayakan pada lebaran kali ini. Menerusi perkongsian di Instagram, Che Ta telah menggayakan baju raya berwarna magenta pada 1 Syawal hasil sentuhan dari pereka fesyen Ezuwan Ismail.

Bukan itu sahaja, pelakon ini turut menyarungkan busana raya yang ditempah khas dengan pereka fesyen terkemuka seperti Man Kajang, Rizman Ruzaini dan Intaz Aziz.

Intan Najuwa

Pelakon kecil molek, Intan Najuwa menjadi perhatian netizen selepas tampil dengan rekaan baju raya yang ringkas tetapi dilihat classy dan elegan.

Baju yang ditempah daripada pereka fesyen Teh Firdaus dan Larney mendapat pujian dari rata-rata warganet berikutan kurung moden yang dipakai terletak elok di tubuh wanita berusia 27 tahun itu.

Walaupun hanya baju kurung moden menjadi pilihan Intan, penggayaan dari segi aksesori seperti selendang, kasut dan beg tangan turut memainkan peranan penting untuk menaikkan seri wajah si pemakai.

Datuk Seri Siti Nurhaliza

Lain pula halnya dengan persiapan penyanyi popular tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memilih untuk tampil bersederhana dalam membuat persiapan baju raya.

Untuk persiapan raya tahun ini, Siti memilih untuk meletakkan fokus kepada dua cahaya matanya iaitu Aafiyah dan Afwa berbanding diri sendiri.

Siti hanya membeli sepasang baju raya untuk dipakai pada Syawal pertama dengan tema kelabu dan biru pilihan suami. Untuk sambutan hari raya kedua dan seterusnya, isteri kepada Datuk Sri Khalid Mohamad Jiwa ini selesa untuk menggayakan baju-baju lama yang masih elok dipakai.

Syed Muhammad Syah Hasif

Mencipta kelainan dalam pemilihan tema raya, pempengaruh Tiktok, Syed Muhammad Syah Hasif memilih tema Barbie untuk digayakan pada hari raya pertama yang lalu.

Baju raya Barbie itu telah menelan kos sehingga RM4,000 untuk empat pasang baju, melibatkan isteri serta dua anaknya.

Perkongsian video yang dimuat naik oleh pempengaruh itu telah mendapat kecaman dari pengguna TikTok kerana dianggap tidak sesuai dengan sambutan perayaan selain kelihatan canggung.

Hal ini berikutan material baju yang digayakan oleh pasangan itu seperti tidak serap peluh dan digayakan bersama bulu-bulu (furry) dan ropol yang dijadikan sebagai aksesori pada baju raya mereka.

Malah, ada kalangan warganet berpendapat, jika diberikan gelaran ‘Busana Selebriti Terburuk’, pasangan ini layak merangkulnya. Tak baik. Kreativiti dan cantik itu subjektif okay!

Fasha Sandha

Tidak meriah raya kalau tidak bergaya sakan sepanjang Syawal. Meskipun diuji dengan jangkitan Covid-19, perkara itu tidak menghalang pelakon, Fasha Sandha bergaya di hari raya.

Khabarnya, pada tahun ini, Fasha sudah memiliki 45 pasang baju untuk digayakan. Koleksi baju raya kali ini kebanyakkannya hasil hadiah dan tajaan daripada beberapa jenama baju.

Maklum sahajalah, sekarang pun Fasha semakin cantik dan berpenampilan langsing, makin seronoklah pelakon ini dapat melaram ke semua baju raya yang dimiliki.

Sebagaimana Che Ta, Fasha juga gemar tampil sedondon dengan keluarga terutama pada hari raya.

Habis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya