Pusat hiburan tawar GRO diserbu polis

Pusat hiburan tawar GRO diserbu polis

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah pusat karaoke di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur yang baru sebulan beroperasi diserbu polis kerana menggaji wanita warga asing sebagai pekerja pelayan pelanggan (GRO).

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi, polis menahan 16 individu iaitu  seorang lelaki tempatan serta 15 wanita warga China. Semua yang ditahan  berusia  23 hingga 38 tahun.

Serbuan dilakukan menerusi Op Pintas Pusat Hiburan oleh Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian D3 (Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, premis hiburan yang diserbu itu adalah kelab karaoke TV (KTV) dan baru sebulan beroperasi.

Menurut beliau, fokus operasi adalah untuk mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandu kepada National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI). 

“Hasil serbuan berjaya membuat tangkapan ke atas 16 individu atas pelbagai kesalahan, termasuk tangkapan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun berperanan sebagai pengurus premis.

“Kita turut menahan 15 wanita warga China yang disyaki digajikan sebagai GRO dengan dua daripadanya ditahan kerana tiada pas atau permit sah untuk tinggal di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, siasatan ke atas pengurus premis akan dijalankan mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 manakala wanita warga asing  mengikut Peraturan 39(b) peraturan-peraturan imigresen 1963.

Dalam pada itu, katanya, siasatan awal polis mendapati kelab KTV itu mempunyai lesen perniagaan yang sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN