PETALING JAYA: Bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib akan membantu calon Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, Muhammad mengulangi komitmennya itu selepas menyatakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Alhamdulillah tengah hari tadi saya sempat berkunjung ke kediaman sahabat lama saya, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, bekas Menteri Besar Selangor dan bekas Naib Presiden UMNO.
“Sebelum ini beliau telah menyatakan komitmen kepada Perdana Menteri untuk membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan di PRK Kuala Kubu Bharu. Hari ini beliau mengulangi komitmen yang sama kepada saya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
PRK Kuala Kubu Bharu dijadual diadakan pada 11 Mei ini dan penamaan calon pula ditetapkan pasa 27 April ini.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandang kerusi tersebut Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Kee Hiong menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi dan menjadikannya penyandang sejak tahun 2013.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut memohon orang ramai mendoakan kesihatan Muhammad.
“Sama-sama kita doakan Tan Sri terus diberikan kesihatan yang baik dan Kerajaan Perpaduan berjaya mengekalkan kemenangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu. – UTUSAN







