Polis tumpas pengedaran pil kuda, heroin - Utusan Malaysia

Polis tumpas pengedaran pil kuda, heroin

AZLI Mohd. Noor (tengah) menunjukkan sebahagian daripada pil kuda dan heroin yang dirampas di sebuah rumah di di Kampung Paya Datu, Manir, Kuala Terengganu, semalam.- UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah jenis pil kuda dan heroin hampir RM400,000 menerusi satu serbuan Op Tapis di Kampung Paya Datu dekat Manir di sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, seorang lelaki 20-an yang menjadikan rumah keluarga didiami bersama neneknya untuk menyimpan dadah turut diberkas.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan lebih empat kilogram (kg) pil yaba atau kuda bernilai RM380,000 dan 33.12 gram (g) dadah jenis heroin bernilai RM4,050.

Azli berkata, turut disita dalam serbuan pukul 10.30 pagi itu sebuah motosikal jenis Yamah Y15ZR bernilai RM12,000 serta wang tunai sekitar RM240 dipercayai duit hasil kegiatan pengedaran dan penjualan dadah itu.

“Ujian saringan menunjukkan suspek yang juga penganggur positif dadah jenis methamphetamine dan dipercayai telah menjadi penjaga bahan terlarang itu sejak Disember dengan upah RM2,000 sebulan.

“Bekalan dadah ini diperoleh dari Thailand yang dibawa masuk melalui Besut kemudian disimpan di bawah kawalan suspek sebelum diedarkan kepada pengedar tempatan untuk pasaran daerah ini dan sekitar.

“Kita sudah mengenal pasti dua atau tiga lagi individu disyaki dalang atau ‘tokan’ dan sedang giat memburu mereka yang aktif dengan kegiatan ini sejak hujung tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Azli lagi, suspek kini direman tujuh hari bermula Isnin sehingga 28 April untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

Tambahnya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum gantung atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan.

“Dadah yang dirampas ini dipercayai untuk kegunaan sehingga 38,000 penagih dadah dan pihak polis memandang serius isu ini yang merupakan rampasan terbesar sejak empat tahun lalu.

“Kita akan meningkatkan usaha memburu beberapa lagi individu dipercayai tokan dadah yang terbabit dengan kegiatan ini dan mengheret mereka ke muka pengadilan,” tambah beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN