Polis terima laporan pemandu langgar tiga lelaki Pakistan dipukul - Utusan Malaysia

Polis terima laporan pemandu langgar tiga lelaki Pakistan dipukul

TANGKAP layar pemandu Proton Saga yang terlibat kejadian langgar tiga lelaki Pakistan dipukul orang awam semalam. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Polis mengesahkan menerima laporan daripada pemandu kereta Proton Saga yang dipukul orang awam dalam kejadian langgar hingga menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 36 tahun yang didapati positif ganja itu membuat laporan polis pada pukul 1 petang hari ini

Katanya, dalam kejadian tersebut, lelaki warga tempatan itu cedera di kepala.

“Kita telah kenal pasti empat individu yang terlibat dalam kejadian pukul itu di mana kesemua mereka dipercayai dalam kalangan rakan-rakan mangsa yang terselamat.

“Kejadian pukul itu dikatakan berlaku sejurus kemalangan dan reda sebaik sahaja polis tiba di lokasi kejadian,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Sementara itu, dalam perkembangan sama beliau berkata, pemandu kereta berkenaan telah direman selama empat hari sehingga Ahad ini

“Siasatan terhadap lelaki itu dibuat di bawah Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki warga Pakistan yang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa berusia 20 hingga 35 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Dua daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN