SHAH ALAM: Polis tumpas sindiket pengedaran dadah apabila merampas pelbagai bahan terlarang itu seberat kira-kira 35 kilogram (kg) bernilai keseluruhan RM4.73 juta ketika melakukan pemeriksaan terhadap sebuah kereta jenis Hyundai Elantra di Puchong, pada Sabtu lalu.
Dadah tersebut adalah jenis Methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) yang merupakan bahan untuk membuat ekstasi seberat 26.5 kg, ketamin (5.46 kg), heroin (1.38 kg), syabu (1.04 kg) dan pil ekstasi 548.7 gram.
Malah, dalam serbuan tersebut, polis turut menemui sepucuk pistol jenis glock bersama sebuah magazine berisi 15 butir peluru serta 17 butir peluru lagi (luar pistol) dan mesin single punch dipercayai alat untuk memproses dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang itu dibuat susulan penangkapan pasangan kekasih pada hari yang sama dekat sebuah kondominium di Puchong Jaya.
Menurutnya, ketika ditangkap kedua-dua suspek lelaki dan wanita masing-masing berusia 32 dan 35 tahun itu menunjukkan dadah jenis pil Erimin 5 dan syabu dengan anggaran berat dua dan 1.6 gram dekat ruang tamu sebuah rumah di kondominium tersebut.
“Susulan tangkapan itu, pasangan terbabit memandu arah polis ke kereta Hyundai Elantra yang diletakkan dekat kawasan tempat letak kereta tepi jalan di kawasan sama. Mereka dipercayai beroperasi selama tiga bulan.
“Kedua-dua suspek tidak bekerja dan semakan rekod lampau mendapati masing-masing mempunyai 14 dan enam rekod lampau pelbagai jenis kesalahan jenayah dan dadah. Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati mereka positif amfetamin, metamfetamin dan benzo,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini.
Tambah Kok Chin, selain dadah, polis turut merampas dua kereta jenis Mercedes Benz bernilai RM178,600, dua bentuk cincin bernilai RM3,500 serta wang tunai bercampur-campur berjumlah RM4,500.
“Kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari sehingga 3 Mei ini dan disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan jumlah dadah yang dirampas dipercayai boleh digunakan untuk 106,315 orang dengan anggaran penggunaan sebanyak 0.2 hingga 0.5 gram sehari.
Justeru, Kok Chin menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jenayah terutama berkaitan dadah kepada polis dalam usaha untuk membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan bahan tersebut secara habis-habisan. – UTUSAN










