IPOH: Polis sedang mengesan tiga lelaki yang mempromosi pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di sekitar Bazar Ramadan Stadium Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kegiatan kesemua lelaki dipercayai warga tempatan itu dikesan menerusi video tular di media sosial sejak semalam.
Katanya, rakaman berdurasi seminit itu menunjukkan suspek mengedarkan kad perniagaan pinjaman wang tanpa lesen dan judi dalam talian di setiap gerai di bazar Ramadan berkenaan.
“Berdasarkan siasatan, aktiviti tiga lelaki itu bermula sejak tiga hari lalu di mana seorang daripada peniaga telah merakam kegiatan mereka dan memuatnaik di laman sosial.
“Temu bual telah dibuat dengan peniaga terbabit bagi mendapatkan maklumat kejadian. Usaha kini sedang dijalankan bagi mengesan ketiga-tiga suspek terlibat,” katanya di sini semalam.
Menurut beliau, setakat ini tiada laporan yang diterima daripada mana-mana pihak berkaitan kejadian itu.
Terdahulu, pemilik akaun Facebook, Oppa Zuzu Kitchen yang dipercayai peniaga di Bazar Ramadan Stadium Perak memuat naik video memaparkan kegiatan lelaki yang menyebarkan kad iklan judi dan along.
Difahamkan, perbuatan individu terbabit sudah ditegur, namun mereka berdegil dengan terus mempromosi kegiatan tersebut di bazar berkenaan khususnya kepada peniaga. – UTUSAN










