PETALING JAYA: Kelas prasekolah akan diperluas di seluruh institusi di bawah Kementerian Pendidikan bagi memastikan isu keciciran murid dapat ditangani dari peringkat awal.
Kementerian itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya sedang melaksanakan pelbagai inisiatif penting bagi mereformasi pendidikan negara termasuk penstrukturan semula sistem prasekolah, Kurikulum Persekolahan 2027 dan intervensi kurikulum bagi menangani keciciran pembelajaran.
“Kementerian mengambil perhatian Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills berkenaan sistem pendidikan negara.
“Perkara utama yang disentuh dalam laporan Bank Dunia seperti kualiti dan akses pendidikan prasekolah, kecekapan murid serta pembangunan profesionalisme guru sememangnya berada dalam perhatian kementerian,” katanya,
Terdahulu, Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundation Skills memberi gambaran pembelajaran murid Malaysia ketinggalan berbanding pelajar Vietnam.
Ini walaupun perbelanjaan yang besar diperuntukkan dalam pendidikan iaitu 3.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negar Kasar (KDNK).
Menurut kenyataan berkenaan, tumpuan turut diberi kepada pembangunan profesionalisme guru.
“Pelbagai program ditawarkan untuk meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru dalam perkhidmatan. Terkini, kementerian memperkenal platform Sistem Pengurusan Pembelajaran (SiPP) bagi memenuhi keperluan kompetensi digital guru.
“Kementerian komited memastikan hasrat untuk mereformasikan pendidikan negara berjaya. Ia adalah usaha berterusan yang memerlukan komitmen, kerjasama dan sokongan semua pihak,” katanya. – UTUSAN










