Perak hasilkan bawang tempatan pertama negara - Utusan Malaysia

Perak hasilkan bawang tempatan pertama negara

ARTHUR Joseph Kurup (kiri) menunjukkan bawang keluaran pertama negara yang berjaya dituai di Kampung Ladang Bikam, Sungkai, Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Negeri Perak berjaya menghasilkan bawang tempatan pertama negara ini sekaligus bakal mengurangkan kebergantungan terhadap import sayuran itu.

Prospek cerah itu susulan kejayaan kerjasama Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Perbadanan Pembangunan Negeri Perak (SADC) menuai hasil pertama tanaman bawang di Kampung Ladang Bikam, Sungkai hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, projek itu bermula pada 24 Januari lalu.

“Secara keseluruhan kawasan tanaman bawang seluas 1 hektar ini mempunyai tiga fasa tanaman iaitu fasa 1 menggunakan 1.5 tan benih bawang pada 24 Januari, fasa 2, 8 Februari (0.25 tan) dan fasa 3 melibatkan 161 dulang anak benih bawang pada 16 Februari lalu.

“Benih yang digunakan ialah varieti bawang merah BAW–1 dan BAW–2 yang dihasilkan oleh Mardi,” katanya pada Program Tuaian Mega Projek Rintis Tanaman Bawang Kuala Bikam, Sungkai di sini, hari ini.

Katanya lagi, kawasan pertanian itu berpotensi mengeluarkan hasil sebanyak 6 tan per hektar.

“Susulan kejayaan ini, kita cadang tambah 4 hektar lagi penanaman bawang di sini (Sungkai) dan di kawasan Kinta di Perak.

“Kementerian juga mengenalpasti 6 lokasi penanaman bawang iaitu Perak yang sudah berjaya, Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan,” katanya.

Tambah beliau, semua perancangan itu, sebagai prospek dan sasaran kementeriannya untuk mencapai tahap sara diri (SSL) bawang pada kadar 30 peratus menjelang 2030.

Arthur memberitahu, untuk mencapai sasaran itu, lebih 1,400 hektar tanah diperlukan bagi penanaman bawang.

Tanaman bawang memerlukan 65 hingga 70 hari untuk tempoh matang sebelum boleh dituai.

Bekalan bawang di Malaysia diimport dari 29 negara dengan lima negara adalah pengeksport terbesar iaitu India, Pakistan, China, Belanda dan Thailand.

Jenis bawang yang diimport negara ini antaranya ialah bawang kecil merah, bawang besar, bawang kecil merah rose, bawang merah, bawang kecil merah dan bawang besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN