‘Pening’ nak tentukan harga lemang

‘Pening’ nak tentukan harga lemang

HARGA lemang pokok buluh yang dijual di Teluk Kumbar, Pulau Pinang terpaksa dinaikkan tahun ini susulan kenaikan keseluruhan kos bahan mentah. – MINGGUAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Selepas 10 tahun mengekalkan harga antara RM15 hingga RM25 sebatang bagi setiap lemang yang dijual, pengusaha lemang pokok buluh di Teluk Kumbar terpaksa menaikkan harga makanan popular itu tahun ini akibat kenaikan harga bahan mentah.

Pengusaha lemang pokok buluh, Mohd. Kamal Abdullah berkata, dia terpaksa menaikkan harga lemang antara RM16 hingga RM26 kerana boleh dikatakan kos keseluruhan bahan mentah bagi menghasilkan lemang pada tahun ini meningkat mendadak.

Katanya, kos bahan mentah untuk menghasilkan lemang antaranya beras pulut, daun pisang, santan, daun lerek dan buluh meningkat berganda sehingga dia sendiri ‘pening kepala’ mencongak harga yang sesuai untuk dijual kepada pelanggan.

“Harga bahan mentah untuk menghasilkan lemang semuanya naik sekali gus saya tidak mahu pelanggan setia lemang pokok buluh berasa terbeban dengan kenaikan kos barang.

“Setelah dicongak kenaikan kos, saya akhirnya terpaksa mengalah dengan harga barang yang terlalu tinggi. Selepas 10 tahun saya terpaksa naikkan harga lemang bermula RM16 hingga RM26 berbanding RM15 hingga RM25 sebelum ini,” katanya di sini.

Menurutnya, sebagai peniaga lemang yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan itu, tahun ini menyaksikan kos bahan mentah naik termasuk harga buluh.

“Saya menempah buluh dari Kelantan dan kos logistik naik berganda malah kos buluh juga meningkat. Jadi, saya tidak dapat lagi tawarkan lemang pada harga seperti dahulu.

“Saya cuba untuk tidak naikkan harga terlalu tinggi kerana mahu pelanggan setia masih dapat menikmati lemang kami,” katanya.

Mohd. Kamal berkata, dia dan pekerjanya mula membakar dan menjual lemang kepada pelanggan dua hari sebelum Hari Raya Aidilfitri sehingga 30 Syawal di gerai mereka yang terletak berhadapan Masjid Ridzwaniah di Teluk Kumbar.

“Pada tahun ini, saya sasarkan pengeluaran lemang kira-kira 10,000 batang sahaja memandangkan perlu menggandakan pengeluaran bagi menampung kos,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×