MELAKA: Polis menahan 23 lelaki berusia antara 15 tahun hingga 20 tahun yang disyaki sebagai suspek dalam kejadian pergaduhan di Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini, minggu lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, pihaknya menerima satu laporan polis yang dibuat seorang wanita berusia 65 tahun pada 31 Mac lalu berhubung insiden cucu lelakinya dipukul sekumpulan lelaki.
Kata beliau, mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian badan serta muka dan laporan polis dibuat kerana pengadu berasa bimbang terhadap keselamatan cucunya yang berusia 15 tahun.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku pada 29 Mac lalu. Bertindak atas maklumat, polis menahan 23 lelaki termasuk remaja bawah umur di beberapa lokasi sekitar Tanjung Kling, Malim dan Tanjung Minyak pada Rabu.
“Polis turut merampas tiga unit topi keledar dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam insiden berkenaan. Punca pergaduhan disebabkan rasa tidak puas hati yang berpunca daripada ejek-mengejek dan akhirnya menimbulkan pergaduhan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, sebuah video berdurasi empat minit yang memaparkan insiden pergaduhan melibatkan sekumpulan lelaki di sebuah kawasan awam di negeri ini tular dalam media sosial.
Menurut Zainol, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merusuh.
“Semua suspek yang berusia 18 tahun ke bawah adalah pelajar sekolah di sekitar Tanjung Kling. Percakapan mereka telah dirakam dan tidak direman.
“Polis Melaka menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak sesekali bertindak di luar batasan sehingga menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat,” katanya. –UTUSAN










