Pekerja kilang didakwa bunuh teman lelaki isteri - Utusan Malaysia

Pekerja kilang didakwa bunuh teman lelaki isteri

D. TANABALAN (tengah) dihadapkan di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelaki isterinya dalam kejadian di Langkap dua minggu lalu. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh teman lelaki isterinya dalam kejadian di Langkap, dua minggu lalu.

Tertuduh, D. Tanabalan, 42, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa membunuh S. Sundararaj, 32, di tepi Jalan Taman Dato’ Nazri Langkap dalam daerah Hilir Perak pada pukul 6.30 petang hingga 8 malam, 5 April 2024.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan atau penjara sehingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum sebat tidak kurang 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Izzudin Fakri Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 15 Mei depan untuk sebutan semula kes bagi serahan laporan forensik dan kimia.

Media sebelum ini melaporkan, polis mengesan lelaki dikenali D. Tanabalan, 42, bagi membantu siasatan kes bunuh melibatkan mangsa berusia 32 tahun.

Mangsa dibawa ke zon merah Wad Kecemasan Hospital Teluk Intan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kesan luka di dada dan leher dipercayai akibat senjata tajam.

Berikutan itu, tujuh individu termasuk seorang wanita berusia 25 hingga 45 tahun diberkas dalam tangkapan berasingan di sekitar Teluk Intan.

Siasatan mendapati, pergaduhan melibatkan kesemua suspek dan mangsa berpunca kerana cemburu terhadap mangsa yang dikatakan menjalin hubungan dengan isteri seorang daripada suspek. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN