PETALING JAYA: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) mewujudkan Bersatu-Solidariti (Best) sebagai kerjasama politik untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Best dalam satu kenyataan memaklumkan, kolaborasi politik tersebut dibuat selepas kedua-dua parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menandatangani memorandum persefahaman (MoU) kerjasama pada upacara yang diadakan di Hongkod Koisaan KDCA, Penampang.
Menurutnya, MoU tersebut ditandatangani oleh Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam dan Presiden Star, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
“Ia disaksikan oleh Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan. Best berteraskan kepada lima aspek utama iaitu mengukuhkan kolaborasi dan kerjasama politik, bekerjasama dan berkolaborasi dalam menyelesaikan isu-isu utama Sabah serta penubuhan Majlis Pimpinan Bersama (JLC) antara PBS dan Star.
“(Selain itu), perkongsian maklumat dan latihan kepimpinan serta penubuhan Jawatankuasa Strategik. Kelima-lima perkara ini telah dibincangkan dan diperincikan dalam MoU yang ditandatangani pada hari yang bersejarah ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Joachim bersama Jeffrey bersependapat, Best akan memperkukuhkan kedudukan kedua-dua parti dan GRS.
“Best bukan satu ancaman kepada rakan-rakan lain dalam GRS tetapi memperkukuhkan kedudukan GRS terutama sekali dalam menghadapi pilihan raya akan datang.
“Bila kita kuatkan GRS, GRS akan kuatkan kita,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah dan Pengerusi GRS turut memberikan sokongannya 100 peratus terhadap kerjasama tersebut.
Jelas kedua-dua Timbalan Ketua Menteri Sabah itu, PBS dan Star perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu yang bukan sahaja dilihat merugikan parti tetapi juga juga rakyat dan negeri tersebut.
“Kerana tiada persefahaman pada pilihan raya lalu, kita hanya menang 13 kerusi. Kali ini, kita boleh menang tiga kali ganda. Kita menandatangani MoU ini untuk memastikan kita tidak mengulangi kesilapan kita dan kita dapat mencapai aspirasi rakyat.
“Kita akan dapat menghasilkan suatu perkara yang positif dan mencapai perjuangan kita bersama,” katanya.
Sementara itu, mereka berkata, Best kini sedang mengkaji kerusi-kerusi baharu yang akan ditandingi mereka pada PRN akan datang.
“Kita akan pertahankan 13 kerusi ini. Yang lain-lain kita boleh bincang,” jelasnya. – UTUSAN










