PETALING JAYA: Pas mahu siasatan segera punca nahas dua pesawat Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilakukan bagi mengenalpasti faktor sebenar kemalangan agar tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihaknya menyifatkan kejadian itu amat mendukacitakan bukan sahaja kepada keluarga mangsa terlibat, bahkan kepada seluruh anggota TLDM dan umumnya rakyat Malaysia.
“Siasatan segera punca nahas perlu dilakukan bagi mengenalpasti faktor sebenar kemalangan agar tindakan susulan yang bersesuaian dapat diambil.
“Semoga semua anggota keluarga mangsa yang terlibat dapat bersabar dengan ujian yang tidak disangka-sangka ini. Takziah kepada keluarga mangsa,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, dua helikopter milik TLDM dilaporkan bertembung sebelum terhempas ketika sesi raptai sempena Hari Ulang Tahun TLDM Ke-90 di Kem TLDM Lumut, Manjung, Perak.
TLDM mengesahkan sebuah Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan sebuah helikopter FENNEC miliknya terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.
Menerusi satu kenyataan TLDM memaklumkan, insiden tersebut melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM dengan sesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian. –UTUSAN










