Pas didakwa masih tidak menerima sekolah vernakular

Pas didakwa masih tidak menerima sekolah vernakular

NIE Ching (tengah) bersama Sock Tao (kanan) ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan di  Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, di sini - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU SELANGOR:  Pas didakwa masih tidak boleh menerima sistem sekolah vernakular yang sudah mencapai usia lebih 60 tahun di negara ini apabila memainkan isu tersebut dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching berkata, serangan pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu menandakan mereka masih tidak boleh menerima sekolah vernakular yang sudah menjadi sebahagian ekosistem pendidikan negara.

Menurutnya, pemimpin-pemimpin Pas sendiri ada yang menghantar anak-anak mereka, malah turut pernah bersekolah di sekolah vernakular sebelum ini.

“Nak serang atas latar belakang dia (calon Pakatan Harapan (PH) – Pang Sock Tao) apabila Pas sendiri pun ada seorang ahli Parlimen yang mengakui di Dewan Rakyat menghantar anaknya ke sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC), Pas juga ada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang (pernah) belajar di SJKC. Jadi, saya tidak tahu kenapa ini boleh menjadi satu isu.

“Ini hanya menunjukkan sehingga hari ini, Pas tidak boleh menerima sekolah vernakular (dalam sistem pendidikan negara), mereka tidak boleh terima pilihan ibu bapa. Jadi, adakah pengundi-pengundi di Kuala Kubu Baharu nak menyokong seorang calon yang datang daripada PN?” katanya ketika ditemui pemberita semasa berkempen di Pasar Awam Kuala Kubu Baharu, di sini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan pemimpin dan penyokong PH cepat ‘koyak’ dan mudah melenting apabila dikritik walaupun sebelum ini menjulang kebebasan bersuara.

“Dalam isu kelulusan calon PRK Kuala Kubu Baharu, mereka yang mula-mula menyerang isu kelulusan ijazah sarjana calon PN (Khairul Azhari Saut), apabila kita pula yang minta latar belakang pendidikan rendah dan menengah calon mereka, mereka pula melenting, kononnya rasis dan sebagainya. Mereka mulakan, kita menyahut dikatakan rasis.

“Sekarang terbukti, calon mereka di peringkat pendidikan rendah dan menengah bukannya di sekolah kebangsaan. Tiada pula pengalaman bekerja dalam perkhidmatan awam dan berinteraksi dengan masyarakat, dari awal hanya bekerja dengan parti dan menteri daripada partinya sendiri,” katanya.

Nie Ching yang juga merupakan Timbalan Menteri Komunikasi berkata, beliau berharap PN mengamalkan politik baharu dan matang.

Jelanysa, PRK Kuala Kubu Baharu perlu dijadikan sebagai pertandingan dan pertukaran idea bagi membolehkan rakyat memilih wakil rakyatnya yang benar-benar terbaik serta membantu mereka kelak.

“Saya rasa itu merupakan kenyataan yang tidak cukup matang, apabila ada orang serang kenyataan mereka, mereka rasa orang lain cepat emosi tetapi inilah zaman internet, ini mentaliti dan cara netizen kita.

“Bukan dia sahaja, kalau saya buat apa-apa kesilapan atau salah cakap, (turut menerima) banyak kritikan, jadi saya rasa tidak perlu melabel orang lain macam seseorang yang serang dan kritik mereka adalah salah.

“Saya rasa pemimpin tersebut patut fikir sendiri, adakah mereka terperangkap dalam ‘permainan’ mereka (sendiri),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN