Padah tunggang motosikal tanpa kebenaran ibu - Utusan Malaysia

Padah tunggang motosikal tanpa kebenaran ibu

Kebenaran ibu
ANTARA motosikal yang diperiksa dalam operasi Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Musa, di Klang, Selangor, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: “Saya hanya keluar untuk makan namun tidak mendapat kebenaran ibu,”.

Demikian alasan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang ditahan selepas menunggang motosikal tanpa lesen dalam operasi Samseng Jalanan di Persiaran Raja Muda Musa di sini, kelmarin.

Remaja itu dan seorang rakannya mendakwa datang dari Pelabuhan Klang ke Kompleks Pandamaran sebelum ditahan bagi pemeriksaan lanjut dalam operasi bermula kira-kira pukul 2.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menjalankan pemeriksaan ke atas 60 penunggang motosikal dalam sekatan jalan raya di kawasan tersebut.

Menurutnya, operasi hampir dua jam itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan yang diketuai Deputi Superintendan Ramzi Mahmuddin.

“Kesemua jalan dan lorong tikus turut ditutup supaya penunggang tidak boleh melarikan diri.

“Polis berjaya memeriksa seramai 60 individu berusia 15 hingga 30-an yang kebanyakannya melakukan kesalahan lalu lintas,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Tambah Hoong Fong, pihaknya mengeluarkan 106 saman manakala 28 buah motosikal turut disita bagi tindakan lanjut.

“Antara kesalahan itu melibatkan tiada lesen memandu, ubah suai motosikal dan ekzos dan menggunakan tayar bersaiz kecil. Tindakan dilakukan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN