Op Selamat Aidilfitri: 359 kes kemalangan direkod minggu lalu

Op Selamat Aidilfitri: 359 kes kemalangan direkod minggu lalu

MAZLI Mazlan (barisan hadapan, tengah) bersama ketua-ketua polis daerah dan ketua-ketua jabatan PDRM Terengganu bergambar selepas Majlis Serah Terima Tugas di Kuala Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis Di­raja Malaysia (PDRM) Terengganu merekodkan 359 kes kemalangan dalam tempoh Op Se­lamat sempena musim pera­yaan Aidilfitri bermula pada 8 se­hingga 13 April lalu.

Ketua Polis Terengganu, Da­tuk Mazli Mazlan, berkata, dari­pada jumlah itu tujuh kes kemalangan maut dengan tujuh orang mangsa direkodkan di jalan negeri, jalan persekutuan dan lebuh raya.

Menurut beliau, bilangan ter­sebut menunjukkan penurunan berbanding sembilan mangsa dan kes kemalangan maut dalam tempoh musim perayaan pada tahun lalu.

Katanya, sepanjang Op Selamat itu juga sebanyak 9,052 notis saman dikeluarkan PDRM negeri atas pelbagai kesalahan melibatkan jumlah kompaun dianggarkan sekitar RM20,000.

“Dalam tempoh itu, 359 kes kemalangan dilaporkan memba­bitkan tujuh kemalangan ma­ut dan tujuh orang mangsa.

“Secara keseluruhan 9,052 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan antaranya memo­tong di garisan berkembar, me­langgar lampu isyarat merah dan beberapa lagi,” katanya.

Mazli berkata demikian da­lam sidang akhbar Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), JSPT dan Ketua Polis Daerah Setiu di sini, semalam.

Pada majlis itu, Asisten Komisioner Dr. Rohan Ahmad dilantik sebagai Ketua JPJKK manakala bekas Ketua Polis Daerah Setiu, Superintenden Afandi Hussin dilantik Ketua JSPT yang baharu.

Sementara itu, Asisten Supe­rintenden Burhanuddin Mustafa pula dilantik sebagai pemang­ku Ketua Polis Daerah Setiu.

Selain itu, Mazli memberita­hu, sebanyak 311,184 kende­raan masuk dan 303,141 keluar dari Terengganu melalui jalan negeri, jalan persekutuan serta Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 bermula 8 sehingga 13 April lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN