Op Selamat 22 Selangor mulai esok - Utusan Malaysia

Op Selamat 22 Selangor mulai esok

Op Selamat
HUSSEIN Omar Khan melihat proses pemeriksaan motosikal dilakukan oleh seorang mekanik ketika menghadiri Majlis Perasmian Op Selamat 22 Peringkat Selangor di Shah Alam, Selangor, semalam. - UTUSAN / AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Operasi khas sempena Hari Raya Aidilfitri, Op Selamat 22 di negeri ini dilaksanakan mulai esok sehingga 13 April bersama 843 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi tersebut melibatkan pemantauan dekat semua lebuh raya di Selangor terutama titik hitam dan panas yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan serta kesesakan.

“Seperti tahun sebelum, Op Selamat melibatkan penguatkuasaan dan pemantauan keselamatan trafik di 30 lokasi black spot dan hotspot.

“Antaranya di Jalan Ijok-Kuala Selangor, Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Kilometer (KM) 407- 410 Lebuhraya Utara Selatan, Jalan Pelabuhan Barat, Jalan Meru, Jalan Salak-Sepang dan Jalan Serdang Jaya,” katanya pada Majlis Perasmian Op Selamat 22 Peringkat Selangor, hari ini.

Jelasnya, 40 kereta peronda dan 89 unit rondaan bermotosikal (URB) akan digerakkan untuk membantu kesemua anggota dan pegawai yang bertugas.

“11 buah kamera perangkap had laju turut diletakkan di beberapa lebuhraya. Kami berharap jumlah kemalangan dapat dikurangkan dalam operasi kali ini.  Dalam Op Selamat Aidilfitri tahun lalu, sejumlah 1,760 kes kemalangan jalan raya dicatatkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hussein menyeru penduduk Selangor yang pulang ke kampung halaman memaklumkan kepada polis dengan memuat turun borang balik kampung di aplikasi Volunteer Smartphone Patrol atau mengambilnya di balai polis berdekatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×