GEORGE TOWN : “Memang terkejut kerana baru pagi tadi abang hubungi keluarga. Memang setiap masa akan hubungi mereka (termasuk ibu dan ayah) termasuk sebelum pergi kerja.”
Itu kata adik perempuan kepada Komander (Kdr) Muhammad Firdaus Ramli, 44, yang hanya mahu dikenali sebagai Alya ketika ditanya mengenai tragedi helikopter terhempas yang menimpa abangnya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.45 pagi tadi, kesemua 10 kru termasuk Muhamamd Firdaus dilaporkan terkorban apabila dua buah helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bertembung sesama sendiri ketika sesi raptai di Padang Sitiawan, Lumut, Perak.
Dalam pada itu, Alya yang berusia 27 tahun itu berkata, dia dan ahli keluarganya yang lain pada mulanya hanya mengetahui mengenai berita sedih yang menimpa abang sulungnya itu di media sosial sahaja.
“Berita itu kemudian disahkan oleh kakak ipar yang berada di kem yang berpangkalan di Sabah iaitu antara pukul 9.30 hingga 10 pagi tadi.
“Ketika ini, kedua ibu bapa saya sudah pun berangkat ke Pangkalan TLDM untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan tragedi itu termasuk proses pengurusan jenazah,” katanya.
Jelas wanita itu, abangnya telah berkhidmat dengan TLDM sejak lebih 20 tahun yang lalu.
“Kami memang rapat dengan abang malah dia antara abang yang banyak berkorban demi adik-adik. Memang sedih dengan apa yang berlaku ini,” katanya yang memberitahu, arwah meninggalkan seorang balu serta seorang anak berusia empat tahun.
Alya turut meminta kerjasama daripada semua pihak untuk memberi ruang kepada keluarga mereka bertenang buat masa ini.-UTUSAN










