SIK: Jenazah Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun, 36, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Perak akan dikebumikan berdekatan pusara ibu bapanya.
Kakak sulung arwah, Noryani, 50, berkata, keputusan itu dibuat setelah mereka berbincang dengan isteri Allahyarham, Nursyuhada, 37, susulan insiden menimpa Muhammad Faisol, semalam.
Menurutnya, jenazah Muhammad Faisol dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Muhtadin Sik Dalam, di sini setelah semua urusan berkaitan di Perak selesai.
“Setelah kejadian itu, adik ipar ada menelefon saya dan kami turut berbincang soal pengebumian arwah setelah dia disahkan antara 10 yang terkorban dalam nahas itu.
“Nursyuhada kata serahkan kepada saya untuk tentukan hendak kebumi di mana dan saya beritahu jika begitu kami berhasrat untuk kebumikan arwah adik berdekatan pusara kedua-dua ibu bapa kami,” katanya.
Muhammad Faisol yang merupakan Kru Udara Skuadron 503 TLDM berada dalam helikopter operasi maritim (HOM) AW139 bersama enam mangsa lain termasuk Pegawai Memerintah, Komander Muhammad Firdaus Ramli.
Ketika kejadian, anak bongsu daripada empat beradik itu terlibat dalam raptai Perbarisan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut yang sepatutnya diadakan pada Jumaat ini.
Arwah meninggalkan isteri yang merupakan guru di sebuah sekolah di Seri Iskandar, Perak dan dua anak perempuan berusia 10 dan enam tahun.
Noryani berkata, arwah bapa mereka, Tamadun Othman meninggal dunia pada 13 Januari tahun lalu sementara ibu mereka, Fatimah Abdullah meninggal dunia pada 14 Ogos tahun sama.
Katanya, dia tidak dapat ke Perak untuk menguruskan jenazah Muhammad Faisol kerana diminta seorang lagi adiknya untuk bersedia di kampung bagi proses pengebumian.
Terdahulu, akhbar melaporkan bedah siasat terhadap 10 mangsa yang maut dalam kejadian helikopter terhempas terbabit dijangka selesai tengah hari ini.
Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah semua mangsa tiba sekitar pukul 6 petang semalam di Jabatan Forensik hospital itu untuk bedah siasat. -UTUSAN










