KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Pakistan kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dikenakan lima sebatan atas kesalahan merogol kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dilacurkan bapanya, enam tahun lalu.
Demikian keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam ketika menolak rayuan Yousaf Gul, 39, dan memerintahkan hukuman berkuasa bermula tarikh tangkapan pada 14 Julai 2020.
Pesuruhjaya Kehakiman Roszianayati Ahmad turut mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Putrajaya yang memerintahkan lelaki itu menjalani sesi kaunseling ketika di penjara dan pengawasan polis selama tiga tahun setelah selesai menjalani hukuman.
Mahkamah berpuas hati, perayu merupakan individu yang merogol mangsa manakala keterangan kes menunjukkan kanak-kanak itu dilacurkan oleh bapanya kepada beberapa lelaki.
Keterangan bapa mangsa (saksi pendakwaan keenam) turut menyatakan Yousaf (perayu) datang ke rumahnya dan melanggan mangsa.
“Mangsa camkan perayu sebagai orang yang merogolnya,” kata Roszianayati dalam penghakiman bertulis bertarikh 16 Januari lalu yang diperoleh pihak media daripada laman web mahkamah hari ini.
Menurut keterangan kes, perkara itu terbongkar pada 11 Julai 2020 apabila mangsa menceritakan kepada ibu saudara (pengadu kes) bahawa bapanya telah melacurkannya kepada seorang lelaki rakyat Pakistan ketika menetap bersama (bapa) di alamat tempat kejadian.
Mangsa menceritakan demikian selepas ibu saudaranya bertanya mengapa kanak-kanak itu kelihatan takut untuk mandi.
Sehubungan itu, beliau berpuas hati tiada keperluan untuk Mahkamah Tinggi mengusik dapatan dan keputusan Mahkamah Sesyen kerana ia berada dalam ruang lingkup prinsip undang-undang.
Roszianayati berpendapat, pengakuan salah perayu adalah betul dan selamat untuk dikekalkan.
“Mahkamah Sesyen telah mempertimbangkan semua faktor untuk mencapai kepada suatu hukuman yang setimpal. Hukuman dan perintah diberikan bukan suatu yang melampau,” katanya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol kanak-kanak berkenaan di sebuah kondominium di Batu 9 Cheras, Hulu Langat, pada November 2018.
Kesalahan mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 376 (2)(d) KK memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Pada asalnya, perayu dibicarakan dengan mendengar keterangan lapan saksi pendakwaan pada 14 Februari 2023 sebelum lelaki itu menukar pengakuan kepada bersalah pada hari yang sama.









