Lelaki langgar mati tiga warga Pakistan mengaku ambil dadah - Utusan Malaysia

Lelaki langgar mati tiga warga Pakistan mengaku ambil dadah

MOHD. Azizol Abdul Rasheed (kiri) mengaku bersalah bagi pertuduhan mengambil dadah di Mahkamah Majistret Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pembantu kedai makan yang menyebabkan kematian tiga lelaki warga Pakistan pada pagi satu Syawal lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi pertuduhan mengambil dadah.

Tertuduh, Mohd. Azizol Abdul Rasheed, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret T. Ashvinii.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didakwa memasukkan dadah jenis Tetrahydro-Cannabinol (THC) ke dalam diri sendiri di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada pukul 7.45 petang, 10 April 2024.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan  mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dibaca bersama Seksyen 38B(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun dan hendaklah dikenakan pengawasan tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Rishan Kumar manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Faustina Francis.

Terdahulu, Rishan Kumar mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM8,000 beserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sekali pada setiap bulan.

Beliau juga memohon tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan patalogi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan dua penjamin dan melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap dua minggu.

Tarikh sebutan semula kes pada 5 Jun depan.

Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki warga Pakistan yang berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri maut selepas dilanggar sebuah kereta di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor di sini semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 8.10 pagi itu, kesemua mangsa berusia 20 hingga 35 tahun meninggal dunia akibat kecederaan parah.

Dua daripada mangsa maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi menghembuskan nafas terakhir di Hospital Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN