KLANG: Lelaki warganegara Israel yang ditangkap polis dekat sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu minggu lalu dikenalpasti menggunakan pasport dari Perancis untuk memasuki ke negara ini.
Malah, pasport yang digunakan itu juga adalah dokumen perjalanan yang sah.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasport itu dikeluarkan secara sah oleh kedutaan Perancis di Tel Aviv, Israel sekali gus dikenalpasti sebagai dokumen tulen ketika pemeriksaan oleh pihak keselamatan.
“Lelaki tersebut telah memohon pasport Perancis daripada Kedutaan Besar Perancis yang terletak di bandar Tel-Aviv, Israel. Jadi dia dibenarkan masuk ke negara ini disebabkan menggunakan pasport negara tersebut,” katanya semasa menyertai Op Khas Pagar Laut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), malam tadi.
Jelasnya, penggunaan dokumen tersebut menyebabkan lelaki terbabit bebas memasuki ke negara ini tanpa membuktikannya berasal dari negara asalnya.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan lelaki Israel berumur 36 tahun itu ditahan bersama enam pucuk pistol dan 200 butir peluru di dalam salah sebuah bilik hotel berkenaan.
Suspek didapati memasuki Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kawalan pintu masuk negara melalui udara dikawal dengan begitu baik oleh agensi yang bertanggungjawab.
“Saya juga akan diberikan laporan terkini berhubung siasatan kes ini, dari semasa ke semasa. Syabas kepada pihak polis kerana cepat mengesan kegiatan lelaki ini dan menangkapnya,” tegasnya.
Tambah Saifuddin lagi, beliau memohon rakyat Malaysia memberikan masa kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan kes terbabit dan meminta semua pihak berhenti membuat sebarang spekulasi. – UTUSAN










