Lelaki bunuh kekasih diarah jalani pemeriksaan mental - Utusan Malaysia

Lelaki bunuh kekasih diarah jalani pemeriksaan mental

Lelaki bunuh kekasih
NATHAN Vijayakumar tiba di Mahkamah Majistret bagi menjalani prosiding kes bunuhnya dekat Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sukar menerima arahan dan enggan bekerjasama demikian sikap ditunjukkan seorang lelaki yang dituduh menolak kekasihnya dari tingkat 23 sebuah kondominium di Setia Alam, pada Februari lalu.

Sikap tersebut menyebabkan peguam mewakili Nathan Vijayakumar, R. Sivahnanthan mengemukakan permohonan perintah pemeriksaan kesihatan mental bagi mengenal pasti status tertuduh sama ada berupaya menjalani prosiding atau sebaliknya.

Menurutnya, permohonan dibuat selepas anak guamnya tidak dapat menerima arahan dengan baik dan memberi kerjasama bagi membantunya menjalani prosiding kes bunuh yang dihadapinya.

“Saya juga menerima memo daripada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang (dikemukakan kepada mahkamah) yang menyatakan tertuduh mengalami masalah pneumocranium, periorbital hematoma serta multiple laceration dan abrasion word.

“Masalah tersebut berpunca daripada kemalangan motosikal yang dialami tertuduh pada April 2018 yang menyebabkannya mengalami pendarahan dalam kepala.

“Oleh demikian saya membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) untuk anak guam jalani pemeriksaan bagi memastikan statusnya sama ada fit to stand for trial atau tidak,” katanya.

Malah, pada awal prosiding pengurusan kes itu, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori dilihat enggan berdiri walaupun selepas diarahkan mahkamah, polis dan peguamnya.

Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali kemudian membenarkan permohonan tersebut dan memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia, Ulu Kinta dalam tempoh sebulan sebelum sebutan semula pada 7 Jun depan.

Terdahulu, Nathan, 37, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh teman wanitanya yang merupakan seorang wanita warga Thailand dekat sebuah kondominium terbabit pada 28 Februari lalu.

Ketika itu juga, dia dilihat enggan beri kerjasama ketika diarahkan membacakan nombor MyKad, malah sekadar menggelengkan kepala selepas ia dibacakan sendiri oleh jurubahasa.

Beliau berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan penjara antara 30 hingga 40 tahun jika tidak dihukum mati serta 12 kali sebatan.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan seorang lelaki dipercayai menolak teman wanitanya di sini selepas kedua-duanya dikatakan bergaduh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN