KOTA KINABALU: Isu pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo menjadi isu hangat yang dibahaskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini.
Tindakan Ketua Pembangkang DUN Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menyentuh tentang kelewatan pelaksanaan projek berkenaan menyebabkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berdiri untuk membela kerajaan.
Datuk Annuar Ayob (STAR-Liawan) berkata, pelaksanaan lebuh raya itu memang ada kelewatan, namun ia terjadi semasa kerajaan Parti Warisan (Warisan) memerintah.
“Pada masa kerajaan lalu, kelewatan (projek) ini sebab perubahan dalam proses pelaksanaan daripada PDPR (Rakan Penyampai Projek-PDP). Itu masa YB Senallang masih Ketua Menteri dan sebab itu ada kelewatan, lewat dua tahun. Kita tidak dapat bersaing dengan Sarawak,” katanya.
Mohd. Shafie (Warisan-Senallang) kemudiannya berkata, beliau sendiri memang mendengar ada pihak menyalahkan kerajaan Warisan kerana kelewatan pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo.
Namun, beliau merujuk kepada laporan audit yang dibuat pada 2019.
“PDP dibayar yuran dengan kadar 5.5 peratus daripada kos pembinaan sebenar, tertakluk pada had maksimum RM12.9 bilion. Kadar itu akan diselaraskan mengikut kadar yang dipersetujui. Boleh bayangkan, hampir RM900 juta yuran dibayar kepada PDP.
“Saya nak nyatakan kerajaan (Persekutuan) pada ketika itu memutuskan kaedah terbaik adalah menamatkan perjanjian antara kerajaan Pusat dengan PDP, bukan kerajaan negeri. Dalam laporan audit yang batalkan PDP di Sabah, Sarawak adalah Kerajaan Persekutuan. Tapi, yang disalahkan saya (Warisan).
“Kita tahu Menteri Kerja Raya adalah Ketua Pegawai Eksekutif (di syarikat PDP) di situ, saya tahu ada konsortium di PDP,” katanya.
Mendengar namanya disebut-sebut, Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya pula berdiri untuk memberi penjelasan.
Shahelmey (UMNO-Tanjung Keramat) berkata, syarikat PDP yang melaksanakan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bukan syarikat yang dimilikinya sebaliknya mengakui beliau hanya seorang pengarah urusan di syarikat berkenaan.
“Ia (syarikat PDP) bukan milik saya sebagaimana yang cuba digembar-gemburkan. Ia adalah usaha sama sebuah syarikat dari Sabah, Warisan Tarang yang bekerjasama dengan UEM dan MMC. Pada 2016-2018, saya hanya seorang pengarah urusan yang makan gaji,” katanya. – UTUSAN







