ALOR SETAR: Satu kajian terperinci mengenai perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) akan dilakukan di Pulau Langkawi, dekat sini.
Perancangan itu menyaksikan kerjasama antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) serta Syarikat Q-Plex untuk mengkaji teknikal, sudut geografi dan impak ekonomi kepada penduduk tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, kajian menyeluruh itu dijangka mengambil masa tiga ke enam bulan untuk disiapkan oleh RETD.
“Hasil dapatan kajian ini yang akan menentukan panjang jajaran, stesen dan prasarana-prasarana berkaitan tetapi pada dasarnya kita merancang untuk membangunkan perkhidmatan ini dari Terminal Feri Kuah ke Pantai Chenang.
“Projek ini akan dilaksanakan secara berfasa sebelum dikembangkan ke destinasi pelancongan lain yang terdapat di Langkawi agar kita dapat memiliki rangkaian pengangkutan terbaik di Asia atau dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara ketiga-tiga pihak itu yang disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor di Wisma Darul Aman hari ini.
Bagaimanapun, Haim Hilman tidak memberikan jangkaan bila projek tersebut bakal dibangunkan termasuk kos kerana perkara itu bergantung kepada dapatan hasil kajian berkenaan kelak.
Tambahnya, perancangan itu mengambil kira keperluan Langkawi untuk melakukan perubahan terhadap sektor pengangkutannya agar dapat mengekalkan pulau itu sebagai destinasi pelancongan.
“Projek seperti ini mampu meningkatkan perkembangan industri pelancongan di Kedah khususnya Langkawi. Dengan mempertingkat infrastruktur pelancongan, ia dapat meningkatkan daya tarikan di Pulau Lagenda ini kepada pelancong domestik dan antarabangsa, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan merentasi pelbagai sektor industri.
“Oleh itu, RETD akan memulakan pembangunan stesen inovatif yang direka mengikut prinsip TOD. Stesen ini akan mengutamakan reka bentuk dan operasi mesra alam untuk membentuk sebuah pusat yang berpotensi meningkatkan kesejahteraan masyarakat tempatan.
“Ciri-ciri tepat bagi setiap stesen akan dirangka berdasarkan kajian daya maju yang komprehensif, memastikan mereka menyediakan pengalaman terbaik kepada pengunjung dan manfaat terbesar kepada kawasan tersebut,” katanya.
Tambah beliau, RETD juga akan membuat kajian terhadap pembangunan pusat komersial di stesen-stesen transit terlibat sesuai dengan kepakaran dimiliki syarikat itu dalam konsep pembangunan baharu.
“Projek LRT itu merupakan sebahagian daripada agenda pembangunan negeri Kedah yang digagaskan Menteri Besar di bawah Pelan Pembangunan Kedah 2035,” katanya. -UTUSAN










