Kuala Kubu Baharu: PH tidak boleh selesa, PN tidak mesti menang

Kuala Kubu Baharu: PH tidak boleh selesa, PN tidak mesti menang

SUASANA Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini dijangka hangat kerana ada pihak didakwa masih tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan sekarang. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peratusan keluar mengundi dan kenaikan kos sara hidup menjadi faktor terhadap status quo Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu yang kini dimiliki Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua faktor itu memperlihatkan PH tidak boleh terlalu selesa dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, namun tidak bermakna Perikatan Nasional (PN) mampu beroleh kejayaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommuddin Bakar berkata, kemenangan calon dan parti bergantung kepada sejauh mana kadar peratusan keluar mengundi khususnya kaum Cina yang dijangka berkurangan berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu.

Katanya, keadaan itu menyebabkan PH berdepan dilema sekiranya peraturan keluar mengundi rendah di samping pengundi Melayu sekali lagi tidak memihak kepada parti itu.

“Dalam keadaan masalah membelenggu kerajaan yang diterajui PH seperti isu pendaftaran PADU dan masalah kos sara hidup tidak kesudahan, ia mungkin kurang dilihat popular kepada pengundi dan tidak menolak berlaku undi protes.

“Keadaan ini (undi protes) boleh menyebabkan berlaku dua situasi antaranya pengundi tidak keluar mengundi atau menyokong parti lawan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada PRN Selangor tahun lalu, calon DAP, Lee Kee Hiong mempertahankan kerusi DUN Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi dalam saingan tiga penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Kee Hiong, 58, berkhidmat sebagai wakil rakyat di Kuala Kubu Baharu sejak 2013, meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

Ditanya sama ada percaturan kaum calon masih menjadi penentu pengundi dalam PRK itu, Hisommuddin berkata, ia masih berlaku setelah melihat rentetan PRN Selangor yang berlangsung tidak sampai setahun.

Katanya, pengundi masih melihat faktor kaum menjadi penentu pemilihan calon sebelum memangkah kertas undi.

“Dalam soal ini, PH juga berdepan dilema sama ada letak calon Melayu atau Cina. Jika letak calon Melayu, mungkin pengundi Cina akan keluar mengundi atau tidak. Sekiranya mereka mengundi sekali pun, kaum ini akan melihat daripada sudut parti.

“Bagi PN pula, mereka dilihat mempunyai kelebihan jika letak calon Melayu berbanding Cina, kerana pengundi Melayu akan cenderung kepada calon Melayu,” katanya.

Komposisi kaum pengundi DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan 40,015 pengundi terdiri 45 peratus kaum Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lain-lain (lima peratus). – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×