KPDN tingkat penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan sempena Aidilfitri

KPDN tingkat penguatkuasaan dan pemantauan harga barangan sempena Aidilfitri

FUZIAH Salleh ketika dalam sesi `walkabout’ pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC, dekat Kemunting, Kuantan, hari ini. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pemantauan harga dilakukan di lebih 1,000 premis di seluruh negara sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh berkata, operasi penguatkuasaan dan pemantauan harga akan terus dipertingkatan terutama membabitkan empat kategori premis iaitu pasar raya besar, kedai runcit, pasar basah, pasar awam dan mini market.

Menurutnya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa dan hampir 1,000 pegawai pemantauan harga (PPH) digerakkan untuk memastikan peniaga mematuhi skim harga tersebut.

“Kita akan pantau 41 item setiap hari di lebih 1,000 premis di seluruh negara.

“Kita (akan membuat) laporan dan data itu dimasukkan ke ‘price catcher’. Kalau (semua orang) melihat aplikasi itu( price catcher), ada data yang dimasukkan setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan dan sesi `walkabout’ sempena pelaksanaan SHMMP  Hari Raya Puasa 2024 di Pasaraya LYC Sdn. Bhd., dekat Kemunting, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin dan Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Chon Siang.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, SHMMP dibuat bagi mengawal harga berikutan  permintaan barangan runcit yang tinggi dan pastinya ia akan mengganggu harga sesuatu barangan.

Jelasnya, sebanyak 22 item yang dikawal di peringkat pemborong, peruncit di seluruh negara  termasuk Sabah, Sarawak dan Labuan mengikut kepada keperluan permintaan tempatan.

“Saya telah melihat semua barang dan berpuas hari dengan semua bekalan, untuk meraikan hari raya, telur ada untuk membuat kuih, ayam juga boleh didapati pada harga bagus.

“Kita tidak  kawal bawang kecil India dan rose sebab kita tiada bekalan, disebabkan India dan Pakistan mempunyai sedikit masalah eksport. Jadi, kita hanya ada (pasarkan) bawang merah dan bawang kuning China.

“Harap peniaga dapat mematuhi harga ditetapkan, dan meletakkan tanda harga merah jambu seperti yang disarankan kerana banyak aduan diterima membabitkan tidak letak tanda harga merah jambu pada barangan kawalan,” katanya.

Sementara itu, jelasnya lagi, dalam pasaran ekonomi terbuka sudah pasti bekalan berpandukan kepada permintaan.

Katanya, bila permintaan tinggi, maka tentu sekali bekalan akan terkesan.

“Kita takut ada peniaga yang mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi, jadi kita perlu letakkan dia punya kawalan. Kita tak mahu peniaga mengambil kesempatan dalam keadaan permintaan itu tinggi,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN