IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menghasilkan sebanyak 277 kes dengan nilai rampasan RM3,451,623.67 dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kesemua kes berkenaan direkodkan hasil daripada pemeriksaan yang dijalankan ke atas 22,743 premis di seluruh negeri.
“Selain itu, jumlah kompaun sebanyak RM97,800 dengan nilai denda berjumlah RM258,000 turut dikenakan terhadap premis dan individu yang didapati melanggar peraturan.
“Tindakan yang diambil daripada jumlah kes yang dihasilkan itu menunjukkan pendekatan tegas dan adil KPDN dalam memastikan kepatuhan terhadap undang-undang yang dikuatkuasakan,” katanya.
Beliau berucap pada Program Jalinan Muhibbah Bersama Komuniti Pengguna dan Rakan Strategik KPDN Perak 2024 di Bangunan Persekutuan Greentown, di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 13 pekerja diberi penghargaan atas perkhidmatan cemerlang selain meraikan empat pegawai yang akan bersara tahun ini.
Menurut beliau, selain pencapaian itu, KPDN Perak juga telah melaksanakan beberapa program di bawah inisiatif Payung Rahmah seperti Program Jualan Rahmah Madani dan Bazar Rahmah.
Katanya, program-program tersebut memberikan manfaat kepada masyarakat dengan menawarkan barangan keperluan harian pada harga mampu milik.
“Sebanyak 238 Program Jualan Rahmah telah dijalankan bermula Januari hingga April tahun ini di mana seramai 290,072 pengunjung dianggarkan telah hadir ke program berkenaan,” katanya. – UTUSAN








