Kos khidmat pembersihan awam, kutipan sisa pepejal meningkat - Utusan Malaysia

Kos khidmat pembersihan awam, kutipan sisa pepejal meningkat

WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Peruntukan untuk membiayai kos perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal di 97 zon kawasan pada tahun 2024 dijangka meningkat daripada RM78.9 juta kepada RM81.5 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, peningkatan kos itu disebabkan oleh perubahan kadar cukai perkhidmatan (SST) kontrak perkhidmatan pembersihan awam daripada enam peratus kepada lapan peratus yang telah berkuat kuasa mulai 1 Mac lalu.

Tambahnya, antara usaha yang telah digerakkan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan tahap kebersihan dan keceriaan kepada tahap optimum dan mengikut standard piawaian ialah dengan meluluskan peruntukan sebanyak RM1.47 juta untuk pembelian tiga buah jentera skylift.

“Kesemuanya telah diserahkan kepada tiga PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) iaitu Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Majlis Perbandaran Kemaman dan Majlis Daerah Hulu Terengganu.

“Kita juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 20,000 kepada MBKT bagi menampung kos sewaan tong ‘Roll On Roll Off’ (RORO) di 15 lokasi ‘hotspot’ sempena Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, jumlah
pembuangan sisa pepejal ke tapak pelupusan meningkat dua hingga tiga ganda pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

“Purata sampah yang dibuang ialah sekitar 300 tan hingga 400 tan sehari berbanding hari biasa.

“Namun, PBT khususnya MBKT telah mengaturkan beberapa pelan tindakan untuk memastikan kerja-kerja kutipan sisa pepejal berjalan dengan lancar.

“Antaranya, menubuhkan pasukan khas operasi pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal, penyusunan semula jadual sepanjang musim perayaan dan menyediakan lori serta pemandu gantian untuk setiap zon kutipan sisa pepejal agar jadual kutipan tidak tergendala. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN