Konvensyen PKR Ke-25: Pemilihan parti, PRK antara fokus

Konvensyen PKR Ke-25: Pemilihan parti, PRK antara fokus

Kampung Jawa
BORHAN AMAN SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Konvensyen Ke-25 PKR yang berlangsung esok  dijangka memberi fokus kepada pemilihan parti selain membincangkan isu-isu berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Selain dua perkara tersebut, turut akan dibangkitkan adalah soal pemantapan parti serta pengukuhan sokongan bagi memastikan kerajaan pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sehingga akhir penggal.

Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Borhan Aman Shah berkata, pelbagai dasar akan dibahas oleh perwakilan dalam konvensyen yang berlangsung esok termasuk isu-isu dibawa oleh pimpinan-pimpinan belia parti itu.

“Seperti konvensyen sebelum ini memang pelbagai isu dan dasar akan dibahaskan oleh perwakilan cuma tahun ini pastinya menjadi tumpuan adalah pemilihan parti yang dijangka berlangsung bermula awal tahun depan.

“Selain itu, turut menjadi tumpuan adalah agenda-agenda pelapis parti bagi memastikan kelangsungan serta pengukuhan sokongan serta usaha memastikan kerajaan ditadbir Presiden kekal bertahan sehingga akhir penggal,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dijangka konvensyen sehari itu dari pukul 8 pagi hingga 2 petang itu  akan dihadiri  ribuan perwakilan. Antara jadual  konvensyen termasuklah, ucapan Setiausaha Agung, Timbalan Presiden serta amanat Presiden. Turut diadakan dalam konvensyen tersebut adalah peluncuran Felo Keadilan, Portal Angkatan Muda PKR (AMK) dan Angkatan Business Chambers.

Selain itu, konvensyen tersebut juga bakal  menyaksikan pembentangan KEMAS16 dan POP25 yang akan dilancarkan dokumennya oleh Anwar selaku Presiden PKR.

Dalam pada itu, Borhan yang juga Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor akan menggerakkan keseluruhan jentera parti di peringkat negeri bagi memastikan kelancaran perjalanan konvensyen yang bermula pada pukul 8 pagi.

“Kita akan mobilize kesemua jentera dan anggota parti untuk menjayakan konvensyen yang memang setiap tahun diadakan di Selangor sebagai pusat atau centre kepada seluruh negara;

“Shah Alam dipilih kerana mempunyai kemudahan penginapan selain mempunyai akses yang mudah termasuk berhampiran dengan Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) dan Subang Skypark untuk menerima kehadiran perwakilan dari Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menjelaskan konvensyen kali ini perlu menumpukan kepada aspek ekonomi memandangkan Presiden PKR merupakan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan manakala Timbalan Presiden, Rafizi Ramli adalah Menteri Ekonomi.

Menurutnya, dalam hal ini, kestabilan ekonomi negara penting supaya ia dapat mencakupi sektor lain termasuk pendidikan dan kesihatan khususnya kepada golongan B40. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN