KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan mengenai keselamatan anggota tentera yang bertugas di Asia Barat ekoran ketegangan kian memuncak susulan konflik Iran-Israel.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihak kerajaan sentiasa memberi peringatan untuk menjaga soal keselamatan setiap kali penghantaran pasukan tentera ke luar negara.
“Lebih-lebih lagi apabila berlaku keadaan seperti yang kita sedia maklum, saya percaya soal (keselamatan) dipertingkatkan,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pasukan Batalion Malaysia (Malbatt) 850-11 di Lubnan.
Menurut beliau, laporan diterimanya mengesahkan pasukan tersebut kini berada di dalam keadaan yang selamat.
“Pasukan kita berkhidmat dan diletakkan di kawasan yang bukannya bersempadan (dengan) Lubnan-Israel tetapi ke dalam sedikit.
“Walau apa pun, kita memang sentiasa maklumkan supaya mereka beri dan memastikan keselamatan anggota-anggota kita,” katanya.
Untuk rekod, agensi berita Reuters melaporkan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRG) melancarkan ratusan dron dan peluru berpandu ke Israel.
Letupan kedengaran di beberapa kawasan di Israel apabila pertahanan udara memintas dron dan misil dari Iran, ia kedengaran kuat di selatan Israel, termasuk Eilat, Beersheba, Dimona, Nevatim dan kawasan-kawasan lain.
Malah, Israel menyifatkan serangan 350 peluru berpandu dari Iran itu sebagai pengisytiharan perang dan mengesahkan ia telah meluluskan rancangan untuk mengambil tindak balas.
Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai isu pencerobohan laut Malaysia, Mohamed Khaled berkata, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sentiasa melakukan pengawasan dan operasi untuk menjaga kedaulatan negara.
“TLDM melaksanakan operasi laut di kawasan maritim Malaysia (iaitu) di sebelah Selat Melaka, Laut China Selatan, Laut Sulawesi dan Laut Sulu. Ada enam operasi, 24 jam dan tujuh hari seminggu.
“(Ini) untuk mengesan kalau ada apa-apa bot ‘luar biasa’ ataupun kapal-kapal perang daripada negara lain tetapi kena ingat laluan-laluan Laut China Selatan adalah bebas, dilalui oleh mana-mana kapal,” katanya. – UTUSAN









