Ketupat terakhir ibu jadi kenangan empat beradik

Ketupat terakhir ibu jadi kenangan empat beradik

MUHAMMAD Fazli Adnan menunjukkan gambar kenangan arwah ibunya, Manirah Rafiee bersama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Wanita yang ditemukan meninggal dunia di atas sejadah di rumahnya sempat menyiapkan ketupat sejuk beku untuk disajikan kepada ahli keluarganya pada Aidilfitri tidak lama lagi.

Muhammad Fazli Adnan, 33, berkata, arwah ibunya, Manirah Rafiee, 59, dipercayai menghembuskan nafas terakhir akibat penyakit jantung yang dihidapinya selain pernah membuat pembedahan pintasan jantung sebelum ini.

Ujarnya, ibu ditemukan oleh sepupunya yang pergi memeriksa keadaan arwah selepas tidak membalas mesej di WhatsApp selain kali terakhir dilihat aktif dalam aplikasi itu pada pukul 7 malam, Khamis lalu.

“Sepupu saya mendapati pintu terkunci dan rumah gelap, namun pendingin hawa berfungsi. Sepupu kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum bomba datang memecahkan pintu rumah.

“Arwah mama ditemukan dalam keadaan berbaring di atas sejadah di ruang tamu dengan kain telekung di sisi,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Terdahulu, seorang wanita berusia 59 tahun ditemukan meninggal dunia di rumahnya di Taman Inang, di sini malam tadi.

Menurutnya, dia dan tiga beradik lain yang tinggal di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor mendapat berita kematian ibu mereka kira-kira pukul 9 malam.

“Saya dan keluarga tinggal di Bukit Jalil terkejut apabila diberitahu mama tidak sedarkan diri dalam rumah. Pada awalnya saya ingat mama pengsan, tidak sangka mama pergi dahulu,” katanya.

Muhammad Fazli berkata, ibunya baru sahaja pulang dari rumah adik perempuannya di Seri Kembangan dan rumahnya di Bukit Jalil pada Isnin lalu.

“Sepanjang di rumah adik, mama masak ketupat untuk keluarga dan tempahan. Ketika di rumah saya pula, mama masak untuk isteri saya yang sedang berpantang. Mama kata makanan ini cukup sampai kami balik raya nanti, tapi raya ini suram tanpa mama namun kami sekeluarga reda dengan pemergiannya.

“Kalau ikutkan, saya balik beraya di sini Isnin depan dan sepakat berkumpul adik beradik raya di rumah mama tapi apakan daya mama pergi dahulu. Tiada lagi masakan air tangan ibu raya ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×