KOTA BHARU: Polis akan membawa pulang suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ke Selangor hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut berkait kes tersebut dilakukan secara lebih terperinci.
“Selain itu, kita juga akan memanggil semua saksi yang terlibat bagi melengkapkan lagi siasatan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Utusan Online hari ini melaporkan, suspek yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA, direman selama seminggu bermula hari ini.
Perintah reman ke atas Hafizul Harawi 38, dikeluarkan oleh Majistret Rais Imran Hamid.
Tindakan itu bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 8, Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Terdahulu, Hafizul yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada pukul 8.30 pagi diiringi anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) yang lengkap bersenjata.
Suspek yang cuba membunuh isterinya dengan melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Terminal 1 KLIA, ditahan di sini semalam selepas 36 jam diburu polis.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut. – UTUSAN










