Kerajaan Terengganu dicadang tanggung 50 peratus hutang PTPTN - Utusan Malaysia

Kerajaan Terengganu dicadang tanggung 50 peratus hutang PTPTN

MOHD. HUSAIMI HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri dicadang menanggung 50 peratus hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk pelajar-pelajar di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd. Husaimi Hussin berkata, perkara itu boleh direalisasikan sekiranya keadaan kewangan negeri mengizinkan.

Menurutnya, keutamaan pembayaran hutang 50 peratus PTPTN itu perlu diberi kepada pelajar-pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka dengan sempurna.

“Ini hanya cadangan saya jika kerajaan negeri mendapat pembayaran royalti minyak daripada kerajaan Persekutuan pada masa akan datang.

“Ia adalah sebagai penghargaan kerajaan negeri buat golongan pelajar yang telah berhempas pulas menimba ilmu di Institut Pengajian Tinggi selama ini.

“Insya-Allah ia boleh dibuat kerana jumlah wang royalti yang bakal diterima itu adalah mencukupi untuk melaksanakan cadangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Tambahnya, idea cadangan itu timbul kerana tertarik dengan inisiatif dilaksanakan kerajaan Sarawak yang membayar 90.42 juta hutang PTPTN untuk pelajar negeri itu pada akhir tahun lalu.

Beliau berkata, perkara itu pernah disuarakan kepada kepimpinan negeri dan menyuarakannya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa lalu.

Ditanya mengenai kaedah pelaksanaannya pula, Mohd. Husaimi berkata, ia akan dibincangkan setelah kerajaan negeri memperolehi bayaran royalti.

Pada Disember lalu, PTPTN menerima bayaran berjumlah RM90.42 juta daripada kerajaan Sarawak ketika itu untuk menyelesaikan sekurang-kurangnya 30 peratus hutang peminjam PTPTN dalam kalangan anak-anak Sarawak.

Jumlah itu diperoleh sejak PTPTN dan Yayasan Sarawak memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi kerjasama Insentif Bayaran Balik Pinjaman PTPTN Anak Sarawak pada 5 Mac 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN