Kementerian Pendidikan komited tangani keciciran murid di Sabah

Kementerian Pendidikan komited tangani keciciran murid di Sabah

FADHLINA Sidek (dua kanan) semasa lawatan ke kabin SBJK di SK Sembulan, Kota Kinabalu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan komited dalam menangani isu keciciran murid terutama di sekolah-sekolah pedalaman di negeri ini.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, biarpun berhadapan dengan faktor demografi yang rencam dan geografi yang luas namun, kementerian akan berusaha sebaik mungkin untuk menangani permasalahan pendidikan di Sabah secara berperingkat mengikut keutamaan.

Di Sabah, inisiatif sekolah komprehensif sembilan (K9) bagi menangani isu keciciran murid telah dilaksanakan di 11 buah sekolah yang berada di pedalaman dan kawasan yang mempunyai geografi yang mencabar.

Sekolah terbabit adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan, SK Logongon di Pensiangan; SK Bawang, SK Jambongan di Beluran; SK Menanam, SK Buis di Telupid, Tongod; SK Sabur, Kudat; SK Long Pasia, Sipitang; SK Magandai, Kota Marudu; SK Fajar Harapan, Lahad Datu; dan SK Pulau Bum Bum, Semporna.

“Jika dilihat isu keciciran pelajar yang berlaku sering kali didorong oleh faktor kemiskinan, masalah keluarga, masalah disiplin, menyertai sektor pekerjaan, tiada minat belajar, berkahwin awal harus ditangani secara bersama.

“Namun, dapat dilihat faktor-faktor itu berkait rapat dengan permasalahan legasi seperti isu infrastruktur dan prasarana pendidikan,” katanya semasa pemukiman pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah semalam.

Maka, pihak kerajaan menerusi kementeriannya akan sentiasa mencari jalan untuk memastikan isu ini ditangani secara strategik agar tidak menghalang proses pengembangan dan kemajuan pendidikan.

Semasa lawatan ke Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Fadlina berkata, proses menaik taraf sekolah-sekolah daif di seluruh negara berjalan lancar.

Untuk Sabah, daripada 338 projek menaik taraf sekolah daif, 218 telah pun siap manakala, 60 projek lagi masih dalam proses pembinaan dan selebihnya 60 projek dalam prabina.

Kata beliau, kos menaik taraf sekolah-sekolah daif negeri ini kira-kira RM3 juta dan beliau amat berharap semua projek yang dirancang dapat disiapkan dengan segera untuk membolehkan murid belajar dalam suasana yang lebih kondusif.

Dalam pada itu, beliau berkata, memang ada permintaan untuk melaksanakan program SBJK di sekolah-sekolah lain di Sabah namun, kementeriannya akan meneliti keperluan dan syarat-syarat yang harus dipatuhi terlebih dahulu.

“Di Sabah, kita tak buat sekolah khas SBJK macam di Kuala Lumpur, kita hanya buat program perluasan. Jadi, program itu boleh dilaksana di sekolah-sekolah arus perdana namun, kelas dan modul pembelajaran berasingan.

“Kriteria yang diambil kira adalah kanak-kanak yang tiada dokumen tapi, salah seorang ibu atau bapa atau penjaga mestilah warganegara Malaysia. Kita memberi peluang kepada anak-anak mereka untuk mendapat akses pendidikan,” katanya.

Pada masa ini, di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan, lapan murid telah mula mengikuti program SBJK sejak Oktober tahun lalu dan jumlah murid itu mungkin akan ditambah kerana pihak sekolah telah bersedia untuk menyediakan kelas yang lebih besar.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya