SUNGAI SIPUT: Keluarga Ahmad Zuhal Norazlan dan Ahmad Marikh Norazlan melantik firma guaman Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) bagi membela nasib dua beradik itu yang maut dalam kemalangan pada 5 April lalu.
HWAM juga adalah peguam yang mewakili keluarga Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, iaitu pelajar yang maut dipercayai dilanggar kenderan dipandu pegawai kanan polis di Meru, Ipoh pada 15 Disember lalu.
Peguam HWAM, Datuk Wan Azmir Wan Majid berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan pihak pengawai penyiasat berkenaan kes kematian Ahmad Zuhal, 17, dan Ahmad Marikh, 13.
“Selepas kita dapat keputusan daripada pihak polis, kami akan terus keluarkan surat kepada pihak insurans iaitu pihak yang melanggar tersebut.
“Kami juga akan teruskan langkah susulan dengan pihak pegawai penyiasat, sama ada tindakan jenayah akan diambil terhadap pelanggar tersebut,” katanya kepada pemberita semasa hadir ke rumah keluarga mangsa di sini hari ini.
Dalam kejadian sekitar pukul 7.12 pagi pada 5 April tersebut, motosikal ditunggang dua beradik itu dipercayai dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda yang memasuki simpang ke kanan secara tiba-tiba.
Selang beberapa hari, seorang kontraktor didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput atas dua pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian dua pelajar tersebut.
Tertuduh, Lee Kin Peng, 52, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan.
Dia didakwa melakukan dua kesalahan itu di Kilometer 38, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar di dalam daerah Sungai Siput antara pukul 7 hingga 7.15 pagi, 5 April 2024 dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Mengulas lanjut, peguam Wan Azmir berkata, kerana wujudnya kematian, pihaknya cuba untuk memastikan pertuduhan di bawah Seksyen 41(1) dan akan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kes tersebut.
Seksyen 41(1) itu memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun, serta denda minimum RM20,000 dan tidak lebih RM50,000, serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan suatu lesen memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN









