SHAH ALAM: Seorang bekas pembantu am di Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas dua pertuduhan memperdaya seorang pengerusi pertubuhan sebuah rumah kebajikan orang-orang tua pada April, dua tahun lalu.
Tertuduh, Murugan Muniyandi membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya dalam Bahasa Tamil di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Mengikut pertuduhan, Murugan, 43, didakwa memperdaya lelaki berkenaan untuk menyerahkan wang RM2,300 kepadanya dengan mempercayai bahawa tertuduh boleh membantunya mendapatkan barangan lelongan MPS.
Kemudian, tertuduh yang kini bekerja sebagai seorang kelindan lori itup juga dituduh memperdaya mangsa sama supaya menyerahkan RM200 yang dipercayai untuk digunakan sebagai sumbangan untuk majlis hari raya anjuran pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 dan 10 April 2022 masing-masing dekat sebuah cawangan bank di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur serta sebuah restoran di Taman Selayang Segar, Gombak.
Justeru, bagi kedua-dua kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mana jika didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peguam tertuduh, Komagan Kanan kemudian memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan mengambil kira faktor anak guamnya yang mengaku bersalah dan menghadapi masalah kesihatan.
“Anak guam masih bujang dan dahulu bekerja sebagai seorang pembantu am di MPS sebelum dibuang kerja. Kemudian dia bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
“Murugan juga menghadapi masalah kencing manis yang agak kronik apabila jari kaki kanannya mengalami luka dan perlu dibedah. Dalam masa sama jangkitan merebak ke jari kaki kanannya yang lain.
“Selain itu, kaki kanannya juga mula membengkak dan anak guam memberitahu perlu hadir ke hospital hari ini untuk menjalani pemeriksaan darah bagi mengenalpasti jika tertuduh mengalami masalah buah pinggang,” katanya.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Aliff Shahruzaman memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal dan bersifat mencegah kepada tertuduh.
“Tertuduh memperdaya seorang pengerusi pertubuhan dalam urusan jual beli barangan lelong oleh MPS. Kesalahan rasuah adalah kesalahan yang serius. Justeru saya mohon mahkamah menjatuhkan hukum juga dengan mengambil kira kepentingan awam,” ujarnya.
Hakim Awang Kerisnada kemudian memaklumkan mahkamah menerima pengakuan salah oleh tertuduh dan menjatuhkan hukuman denda RM5,000 dan RM2,000 masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua.
Mahkamah juga menetapkan hukuman penjara lima dan dua bulan jika tertuduh gagal membayar denda. – UTUSAN










