Kejohanan WCGC kembali ke Malaysia, Elora Global penganjur

Kejohanan WCGC kembali ke Malaysia, Elora Global dilantik sebagai penganjur

SHOBAN Ramlu diberi kepercayaan oleh pihak pengurusan WCGC sebagai penganjur kejohanan itu di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas 15 tahun menyepi, kini kejohanan golf korporat berprestij dunia, Cabaran Golf Korporat Dunia (WCGC) bakal kembali berlangsung di Malaysia dalam masa terdekat.

Syarikat Elora Global Sdn. Bhd. diberi kepercayaan dan dilantik oleh pihak pengurusan WCGC yang berpangkalan di Madrid, Sepanyol untuk menganjurkan kembali kejohanan golf korporat berprestij itu yang pernah diadakan di negara ini tidak lama dahulu.

Pengarah Urusan Elora Global Sdn. Bhd., Shoban Ramlu berkata, beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan oleh pihak WCGC kepada Elora Global untuk menganjurkan kejohanan itu.

Katanya, Elora Global akan berdedikasi bagi menjayakan acara golf dalam kalangan ahli-ahli korporat di dalam dan luar negara yang bakal beraksi di Malaysia.

“Dengan pengetahuan, pengalaman dan kepakaran yang ada sebelum ini, saya yakin Elora Global mampu menjayakan kejohanan WCGC kali ini.

“Buat permulaan, Eloran Global merancang untuk mengadakan lima kejohanan iaitu empat pusingan kelayakan dan satu grand final. Lokasinya nanti akan ditentukan.

“Dua orang yang berjaya ke grand final nanti bakal mewakili negara ke Kejohanan Dunia yang akan berlangsung di Haiko, China,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, tambah Shoban, beliau juga mengalu-alukan mana-mana syarikat yang ingin menjadi penaja bagi sama-sama menjayakan kejohanan ini nanti.

“Permulaan WCGC Malaysia oleh Elora Global menandakan lembaran baharu dalam kancah golf korporat negara,” tambahnya.

WCGC adalah satu kejohanan golf korporat terbesar di dunia yang menarik lebih satu juta pemain golf dari lebih 30 negara yang berebut untuk mewakili syarikat dan negara di kejohanan final dunia.

Bermula pada tahun 1993 sebagai program golf korporat UK dengan kerjasama The Times Newspaper, WCGC telah berkembang menjadi acara rangkaian antarabangsa yang dipromosikan dan dikendalikan oleh pemegang lesen di seluruh dunia.

Justeru itu, WCGC menawarkan platform yang tiada tandingan untuk pembangunan perniagaan, sama ada melalui hiburan pelanggan, pekerja insentif atau memupuk hubungan perniagaan melalui golf.

Dengan slogan ‘Membawa Dunia Perniagaan Bersama-sama’, WCGC terus berkembang pesat dan Malaysia akan mendapat manfaat yang ketara daripada impaknya terhadap landskap korporat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN