KUALA LUMPUR: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika beliau ambil peduli desakan meletak jawatan, pasti dirinya sudah lama berundur dari politik.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini termasuk gesaan pengkritik yang mahukan UMNO keluar dari Kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai DAP.
“Tiada sebab untuk kita (UMNO) tak kekal (dalam kerajaan). Peduli apa cakap kat luar tu. Kalau saya peduli sudah lama saya ‘gantung diri’ dari politik.
“Dalam perkara baharu ini, (ada) 22 peratus orang yang sentiasa menentang perkara-perkara baharu. Yang tak tentang ada 78 peratus.
“Buat apa kita peduli yang 22 peratus tu. Tak semestinya pandangan mereka semua buruk macam salah sangka kepada saya, ada juga yang baik-baik,” katanya di sini baru-baru ini.
Ahmad Zahid percaya persepsi yang dilempar terhadapnya dalam kes rasuah dan pecah amanah dihadapinya sebelum ini sukar dibuang.
“Siapa yang cipta 47 tuduhan? Seolah-olah saya ini buruk sangat sampai tak tengok apa saya buat selama ini dan sebelum itu.
“Seolah-olah saya pecah amanah tetapi telah dibuktikan oleh mahkamah yang saya tidak tunduk kepada pertuduhan itu tetapi persepsi masih ada,” katanya.
Pada 4 September tahun lalu, Ahmad Zahid, 71, dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah melepas tanpa membebaskan beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan bahawa Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid pada peringkat ini.
Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil antara mereka yang tegar mendesak Ahmad Zahid meletak jawatan presiden UMNO.
Alasan mereka kerana mendakwa beliau punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November 2022 serta saingan dalam enam pilihan raya negeri (PRN), 12 Ogos tahun lalu.
Pengkritik Ahmad Zahid turut mendakwa lebih ramai orang Melayu kini menolak UMNO oleh kerana keputusan Presiden untuk bersama DAP selepas PRU15. – UTUSAN










