KANGAR: Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli membuka pintu seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan berhubung sebarang salah laku di negeri ini.
Malah tegas, Mohd. Shukri, jika anaknya sekali pun didapati bersalah, hukumlah dia kerana beliau sudah memberi ilmu dan pendidikan yang secukupnya selain sentiasa menitipkan pesanan.
Katanya, selepas kes tersebut, beliau bersama ahli keluarga telah dihubungi oleh rakan-rakan yang memberi kata-kata semangat dan doa bagi menghadapi ujian tersebut.
“Kalau anak saya bersalah, hukumlah dia. Saya dah bagi pendidikan dan ilmu kat dia, kalau buat juga nak buat macam mana.
“Saya tiada gundah gulana dan setakat ini masih mampu bertahan. Doakan yang terbaik untuk kita semua dan saya tiada prasangka kepada SPRM sehinggalah mereka selesaikan siasatan,” katanya pada sesi penggulungan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15, di sini hari ini.
Mengulas mengenai detik penahanan anak lelakinya itu, Mohd. Shukri berkata, SPRM telah menggeledah rumahnya dan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) diuruskan olehnya namun tidak menemui sebarang petunjuk.
Katanya, susulan itu, anaknya juga telah ditahan bagi membantu siasatan dan turut menjalani lanjutan reman sehingga esok.
“Kita buka pintu seluasnya kepada SPRM (untuk siasat) dan kini mereka juga telah mula ke pusat-pusat khidmat DUN di negeri ini,” katanya.
Tambah Mohd. Shukri, beliau sememangnya mengalu-alukan kehadiran SPRM bagi membolehkan siasatan secara telus dapat dilaksanakan berhubung sebarang salah laku di negeri ini.
“Saya mengalu-alukan kehadiran SPRM, periksa habis-habis agar kerajaan negeri ini bersih macam kain putih,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Keenam-enam suspek terlibat berusia 26-37 tahun itu ditahan antara pukul 7 hingga 8 pagi sekitar Perlis bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan anggaran jumlah keseluruhan projek bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini.-UTUSAN









