PERMATANG PAUH : Sebanyak 22 buah kenderaan yang dipandu oleh warga asing disita oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dalam satu operasi penguatkuasaan khas di sekitar Seberang Jaya di sini, semalam.
Daripada jumlah yang disita itu, 17 daripadanya adalah motosikal, masing-masing dua buah kenderaan utiliti sukan (SUV) dan dua buah kereta serta sebuah van.
Selain JPJ, turut serta dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Khas Pemandu Warga Asing (PeWA) itu ialah agensi penguatkuasa daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Menurut jurucakap JPJ negeri, penguatkuasaan itu dibuat bagi memantau, mengesan serta mengambil tindakan terhadap ketidakpatuhan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah-Kaedah di bawahnya terhadap pemandu warga asing yang memandu di negeri ini.
“Sebanyak 63 notis saman telah dikeluarkan dalam operasi ini dengan ketiadaan lesen memandu antara kesalahan tertinggi yang dikesan.
“Kesalahan lain yang dikesan termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran. Semua pelaku ini pula membabitkan warga asing yang berasal dari Pakistan, Rohingya, Bangladesh, Myanmar dan lndonesia,” katanya di sini, hari ini.
Menurut beliau, dalam operasi yang sama juga, JIM telah membuat tangkapan terhadap lima warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
“Penguatkuasaan seperti ini akan dilaksanakan secara berterusan iaitu dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu warga asing yang gagal mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.-UTUSAN










