SHAH ALAM: Jenazah bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tun Mohammed Hanif Omar akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain selepas menziarahi keluarga dan memberi penghormatan terakhir kepada allahyarham dekat kediamannya di sini.
Menurutnya, istiadat khas akan diadakan di Masjid Negara bagi membolehkan pemimpin negara, tetamu kenamaan, pegawai dan anggota polis serta orang awam memberikan penghormatan terakhir.
“Selepas ini dimaklumkan bahawa kerajaan membenarkan untuk bawa ke Masjid Negara dan akan disolat jenazah dan dikebumikan di Makam Pahlawan,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Tun Hanif dilapor menghembuskan pada pukul 2.15 pagi tadi oleh anaknya, Abdul Rahmat Omar Mohamed Haniff.
Dalam pada itu, Razarudin memberitahu, Tun Hanif merupakan Ketua Polis Negara paling lama berkhidmat dan pegawai termuda dilantik ke jawatan tersebut iaitu ketika berusia 35 tahun.
Katanya, beliau dan bapanya pernah berkhidmat sebagai pegawai polis di bawah kepimpinan allahyarham bermula dari pangkat Inspektor sehingga Asisten Superintendan (ASP).
“Yang paling lama berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara kira-kira 20 tahun. Bapa saya dan saya juga pernah berkhidmat bawah beliau dan banyak perkara-perkara yang baik disumbang kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan selama berkhidmat.
“Pada saya allahyarham adalah seorang legenda untuk memimpin PDRM dan pada masa tersebut berkhidmat pada kerajaan. Dalam keadaan aman, kebajikan anggota PDRM memang terjaga, sebagai legenda. Lebih 10 tahun juga saya berkhidmat dan bermula dari pangkat Inspektor sehingga ASP,” ujarnya.
Terdahulu, turut hadir memberi penghormatan terakhir adalah bekas Ketua Polis Negara Ke-9, Tan Sri Ismail Omar; Exco Kerajaan Negeri Selangor, Mohd. Najwan Halimi dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Selain itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan; Ketua Penolong Pengarah (Pendataan/Analisa) Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim serta pegawai dan anggota polis lain turut hadir memberikan penghormatan terakhir.
Pemergian allahyarham ketika berusia 85 tahun itu meninggalkan isterinya, Toh Puan Hamidah Abdul Hamid serta tiga orang anak, sembilan cucu dan sembilan cicit. – UTUSAN










