KUALA SELANGOR: Jawatankuasa termasuk Ketua Penaja Bahagian Parti Bersatu Tanjong Karang bakal diumumkan susulan ketua bahagiannya yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Penerangan Srikandi Bersatu, Nurul Syazwani Noh berkata, pelantikan baharu itu dibuat selepas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu meluluskanya berikutan jawatankuasa bahagian tersebut sebelum ini sah digantung pada 18 Mac lalu.
“Status penggantungan itu turut dimaklumkan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika hadir di Tanjong Karang.
“Insya Allah Ketua Penaja bahagian baharu akan dilantik dan diumumkan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Pada 24 Januari lalu, Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga bekas Ketua Bersatu bahagian itu, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi menjadi pemimpin blok pembangkang terbaharu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri.
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kelmarin meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada pihak lawan.
Bersatu sebelum ini meluluskan Perkara 10 perlembagaan parti selepas memperoleh sokongan 1,956 perwakilan yang hadir pada Perhimpunan Agung Khas di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Selayang.
Mengulas lanjut, Nurul Syazwani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang berkata, kelulusan pindaan perlembagaan itu memberi ruang untuk melihat sama ada sokongan enam Ahli Parlimen berkenaan masih kekal kepada Perdana Menteri atau kembali kepada Bersatu.
“Bagi saya (bekas Ketua Srikandi Muda) yang mewakili bahagian Tanjong Karang, kami akan terus bekerja untuk parti dan rakyat. Mesyuarat juga telah diadakan sebelum ini dalam membincangkan pelbagai perkara termasuk kemungkinan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK),” jelasnya.
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang yang juga pengamal undang-undang, Tan Sri Noh Omar berkata, kesemua ahli parlimen berkenaan masih ahli Bersatu dan terikat dengan perlembagaan parti.
“Apabila pindaan itu berkuatkuasa, mereka sama ada mahu mengikut perlembagaan itu atau tidak. Jika tidak mengikutnya, mereka boleh digugurkan sebagai ahli parti namun bukannya dipecat,” katanya. – UTUSAN










