PUTRAJAYA: Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (JK HARMONI) di bawah urus setia Kementerian Perpaduan Negara dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan situasi polemik perkauman melampau ketika ini.
Dalam satu kenyataan bersama antara Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, jawatankuasa ini akan membincangkan langkah-langkah segera dalam menjamin keharmonian rakyat dan negara.
Kedua-dua Menteri turut memberikan amaran tegas kepada kesemua individu agar tidak sama sekali mencetuskan polemik perkauman yang lampau sehingga mewujudkan ketegangan sosial dalam kalangan rakyat berbilang bangsa, agama dan budaya di Malaysia.
“(Kedua-dua menteri) mengutuk sekeras-kerasnya kesemua insiden polemik perkauman dan agama yang menganggu gugat keharmonian rakyat.
“Kedua-dua Menteri juga mengulangi pendirian menggesa agar tidak ada pihak yang mencetuskan perkara menyentuh sensitiviti agama dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan,” katanya di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu, sejak beberapa minggu ini, negara terus menerus dilanda dengan pelbagai insiden berhubung sentiviti agama dan perkauman termasuk baru-bari ini di KK Mart, Kuching yang disebabkan individu-individu tidak bertanggungjawab.
Pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk di bawa ke muka pengadilan.
“Pihak yang terlibat perlu dihukum dengan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada semua pihak.
“Masyarakat perlu sentiasa memupuk dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang merupakan tanggungjawab setiap rakyat bagi melindungi serta mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara daripada sebarang ancaman perbalahan, provokasi serta permusuhan,” katanya. – UTUSAN











