KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 73, meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah Serdang kira-kira pukul 11.30 pagi tadi.
Berita duka pemergian Jaafar atau nama sebenar, Jaafar Onn Awang disahkan oleh anak angkatnya, Mohamad Hanif Hashim.
“Proses pengurusan jenazah dan pengebumian masih dalam perbincangan bersama pihak keluarga arwah,”katanya.
Sebelum itu, Hanif memberitahu, bapa angkatnya ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak kelmarin selepas berlaku pendarahan ketika membuang air besar.
Hanif berkata, doktor sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas kritikal dan jantungnya terhenti pagi tadi.
Terdahulu, pelakon prolifik menerusi drama bersiri Cili Padi itu mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.
Difahamkan, Jaafar perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot sejak tahun lalu.-UTUSAN










