Insiden tembak KLIA: Mangsa sepatutnya tidak bertugas ketika kejadian

Insiden tembak KLIA: Mangsa sepatutnya tidak bertugas ketika kejadian

MUHAMAT Mohd. Yusof ketika ditemui pemberita di Hospital Cyberjaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Rakan kepada mangsa insiden tembakan di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepatutnya yang bertugas ketika kejadian berkenaan.

Walau bagaimanapun, Norhafiza Azizan ketika ditemui pemberita di Hospital Cyberjaya di sini berkata, dia diberikan cuti untuk pulang berhari raya di kampung oleh majikannya itu.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana terlepas daripada jadi mangsa peristiwa itu namun berasa sedih kerana rakan yang ganti saya pula parah kena tembak,” katanya ringkas.

Dalam kejadian di balai ketibaan terminal itu pukul 1.30 pagi tadi, seorang pengawal peribadi kepada seorang wanita tercedera akibat terkena tembakan oleh seorang lelaki.

Suspek dipercayai menyasarkan isterinya itu yang dalam proses perceraian dalam jarak dekat sebelum melarikan diri ke aras 2, bangunan parkir bertingkat di Blok C di KLIA.

Mangsa, Mohd. Nur Hadith Zaini, 38, yang juga lebih mesra disapa sebagai Along, parah di bahagian perutnya sebelum dikejarkan ke Hospital Cyberjaya dan dilaporkan kritikal.

Mengulas lanjut, Norhafiza, 29, yang selesa dipanggil sebagai Fiza berkata, dia tidak pula menyangka rakannya itu mengalami nasib malang semasa bertugas di lokasi berkenaan.

“Ini bukan kali pertama suspek ugut isteri dengan ancaman bahaya dan saya kerap diarah majikan bagi mengawal kerana perkara yang sama pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Jelas gadis yang berasal dari Kedah itu, ugutan sedemikian kali terakhir direkodkan pada hujung tahun lepas, namun mujur tiada sebarang serangan yang dilakukan oleh suspek.

Seorang lagi pengawal peribadi yang ditugaskan bagi menjaga majikan berkenaan walau bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan mereka berdua pula tiada bersenjata.

Sementara itu, tinjauan di lobi wad unit rawatan rapi Hospital Cyberjaya mendapati tiada kelibat ahli keluarga mangsa dan pemberita juga dilarang berada di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengawal Peribadi Malaysia, Muhamat Mohd. Yusof yang ditemui berkata, beliau sering bertemu Along yang cukup aktif dengan kerja amal.

“Kali terakhir saya jumpa dia ketika kami menganjurkan program berbuka puasa dengan sekumpulan anak-anak yatim dan mangsa kelihatan amat gembira malah ceria,” ujarnya.

Beliau namun sedih kerana mangsa dan seorang lagi pengawal yang bertugas ketika insiden itu tidak bersenjata untuk mempertahankan diri dan terdedah risiko bahaya ditembak.

Menyentuh insiden itu, pihak persatuan katanya, bersedia membantu kebajikan keluarga Along yang tinggal di Kuala Lumpur kerana difahamkan mangsa ada seorang anak orang kurang upaya.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pengawal peribadi yang lain menjadikan insiden itu sebagai pengajaran untuk lebih bersiap siaga dan juga mengambil lesen senjata api.

Mereka juga tambahnya, digalakkan menyertai mana-mana kelab menembak manakala majikan diseru mengupah pengawal lengkap bersenjata sebagai langkah pencegahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN