KUALA LUMPUR: Perbicaraaan kes Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Terengganu, Senator Datuk Razali Idris atas pertuduhan menyebut perkataan berbaur hasutan iaitu menghina keputusan mahkamah serta memfitnah kerajaan, akan didengar oleh Mahkamah Sesyen pada 11 Julai ini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali dijadual semula selama empat hari pada 11, 12, 15 dan 16 Julai ini.
Beliau menangguhkan perbicaraan yang sepatutnya bermula semalam kerana tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal terlibat dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Persidangan DUN Terengganu ke-15 yang berlangsung selama empat hari sehingga Khamis ini.
Perbicaraan juga dijadualkan bermula semalam selama lima hari sehingga Jumaat.
Perkara itu dimaklumkan melalui sepucuk surat penangguhan bertarikh 3 April lalu yang dihantar oleh peguamnya kepada pihak mahkamah.
Surat itu turut memaklumkan, Razali yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri Terengganu perlu menghadiri sambutan Hari Keputeraan Sultan Terengganu yang bakal berlangsung selama sebulan bermula Jumaat ini.
Tertuduh berjawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu.
“Kami memohon penangguhan perbicaraan dan tarikh-tarikh yang telah ditetapkan sebelum ini dilapangkan bagi membolehkan tertuduh melaksanakan tanggungjawab sebagai ADUN,” demikian menurut surat berkenaan yang diperolehi pihak media semalam.
Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datin Kalmizah Salleh mewakili pihak pendakwaan, Razali diwakili oleh peguam Hasshahari Johari Mawi manakala kehadiran tertuduh dikecualikan. – UTUSAN










