KUALA LUMPUR: Undi Cina dijangka berpecah dua berikutan kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menimbulkan rasa tidak puas hati terhadap pengundi MCA.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, perkara itu disuarakan sendiri oleh ahli akar umbinya yang dikatakan enggan memberi undi kepada calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu, 11 Mei ini.
Katanya, tindakan akar umbi MCA itu sekali gus menjadi cabaran buat parti itu bagi meyakinkan ahlinya selepas Anthony mengeluarkan kenyataan menyakitkan pengundi MCA di kawasan berkenaan.
“Saya sendiri turun ke Kuala Kubu Bharu baru-baru ini. Akar umbi MCA sangat marah dengan tindakan Anthony yang kata MCA adalah ‘parti tauke’ dan kononnya MCA tidak membantu masyarakat Cina.
“Dulu dia (Anthony) kata, dia tidak suka MCA sebab kita bekerjasama dengan UMNO yang parti rasuah dan penyelewengan, sekarang kata tidak suka MCA sebab tidak bantu masyarakat Cina pula. Kenyataan dia sendiri pun berubah-ubah. Rakyat sendiri pun nampak perkara ini.
“Bila DAP sudah keluar kenyataan sebegini, macam mana mahu undi dia? Hati sudah sakit, kita yang pemimpinlah susah untuk nak jelaskan kepada ahli kita. DAP perlu ingat, dulu Kuala Kubu Bharu itu kubu kuat MCA, ahli kita ramai dan MCA ada kekuatan di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Sebagai rekod, Kuala Kubu Bharu pernah menjadi kubu MCA di Selangor sebelum DAP menawannya melalui Kee Hiong pada 2013.
Semasa pilihan raya negeri, baru-baru ini, mendiang Lee Kee Hiong dari DAP mempertahan Kuala Kubu Baharu dengan majoriti 4,119 undi walaupun DAP melihat kerusi itu sebagai berisiko.
Mengulas lanjut, Lawrence berkata, kenyataan Anthony dikeluarkan pada masa yang salah kerana ia memberi kesukaran kepada Pakatan Harapan (PH) untuk meraih undi daripada masyarakat di kawasan berkenaan, memandangkan MCA dan DAP kini di bawah gabungan yang sama iaitu Kerajaan Perpaduan.
“Dia (Anthony) tidak fikirkah kenyataan itu akan menyusahkan kita semua? Kenyataan dia juga menyebabkan MCA akan semakin jauh dengan DAP?
“Saya belum pernah duduk di sebelah Anthony, tapi saya rasa lepas kenyataan Anthony itu, saya pun rasa susah nak bekerjasama dengan DAP,” katanya lagi.
Sebelum ini, Anthony berkata, semasa menjadi pelajar, beliau memilih menyertai DAP bukan kerana tidak suka BN, tetapi kerana tidak suka MCA.
Anthony juga dilaporkan berkata, MCA adalah sebuah parti yang memberi imej sebagai parti untuk orang kaya dan mereka yang berkedudukan.
Susulan kenyataan itu, pemimpin utama MCA termasuk Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong menyatakan rasa kecewa serta menegaskan pelbagai sumbangan parti itu sejak merdeka.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional , Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan menuntut kerusi PRK Kuala Kubu Bharu, malah turut menyeru rakan komponennya termasuk MCA dan Friends of BN untuk menyokong calon yangg ditetapkan oleh Perdana Menteri.
Ketua Wanita DAP, Teo Nie Ching turut mengesahkan bahawa parti itu sudah memiliki beberapa nama untuk diketengahkan sebagai calon Pakatan Harapan dan akan diputuskan oleh kepimpinan tertinggi parti itu. – UTUSAN









