ALOR SETAR: Berbanding dengan sembilan pemain import pada musim lepas, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) hanya memuktamadkan lima pemain sahaja untuk musim ini sebagai usaha bersederhana dan berhemah.
Pemilik KDA, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pihak pengurusan juga berbesar hati kerana pemain import terlibat sedia menerima kontrak yang ditawarkan walaupun dengan gaji lebih rendah berbanding negara masing-masing.
“Dalam dunia bola sepak kalau tak ada pemain import tarikan ke stadium kurang, kehebatan permainan pun kurang jadi kita perlukan juga beberapa pemain import. Walaupun dibenarkan enam orang untuk berada di padang tetapi kita ambil lima sahaja.
“Dengan bajet sederhana, walaupun dilanda beberapa halangan dan isu kewangan, pihak pengurusan tetap komited dan membuat perancangan rapi membentuk pasukan mengikut adunan dan sukatan Ketua Jurulatih, Nafuzi Zain,” katanya.
Setakat ini, KDA FC menyenaraikan lima pemain import iaitu Jose Cleylton dari Brazil, Sukhrob Nurulloev (Uzbekistan) dan bekas pemain import Terengganu FC, Sony Norde serta Habib Haroon selain Milos Gordic (Serbia).
Mengulas lanjut, Mohd. Daud turut menolak khabar mengatakan bekas pemain import pasukan itu, Liridon Krasiniqi akan kembali ke dalam skuad Sang Kenari.
“Tidak ada kita sudah tutup. Setakat 16 April, untuk pasukan Liga Super, pasukan lengkap sepenuhnya. Hanya lima pemain import diikat kontrak dan telah melaporkan diri bersama pasukan,” ujarnya.
Mengulas tindakan KDA FC yang ‘berbelanja awal’ dengan menyertai perlawanan empat penjuru di Terengganu di sebalik masalah kewangan kelab itu, kata beliau pihaknya mempunyai rasional sendiri.
“Perjalanan ke Terengganu ditanggung oleh penaja, Arab Street jadi kelab tidak tanggung kos itu sama sekali. Perlawanan ini adalah untuk memberi pendedahan kepada semua pemain termasuk pemain import.
“Pendedahan empat penjuru ini diharapkan boleh capai matlamat kita untuk cari keserasian, kepincangan dan kelompongan yang ada. Kita perlu berada di luar Kedah, kalau main sesama sendiri kita tidak nampak kelemahan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Daud berkata, kenaikan harga tiket sebanyak RM5 iaitu RM20 bagi Zon Terbuka, RM30 (Zon Pavilion) dan RM40 (Zon Astaka Utama) bagi semua perlawanan di Stadium Darul Aman bermula perlawanan pra-musim adalah untuk membantu kewangan KDA.
Tambahnya, Pas Bermusim Sang Kenari bagi musim 2024/25 akan ditawarkan dengan harga lebih kompetitif daripada harga keseluruhan tiket perlawanan iaitu RM150 di Zon Terbuka, RM250 (Zon Pavilion) dan RM380 (Zon Astaka Utama) yang melibatkan 12 perlawanan Liga Super.
“Kali terakhir harga tiket naik beberapa tahun lepas dan kali ini ia perlu. Kita tahu keadaan ekonomi tak begitu baik tetapi keadaan kita pun gawat. Jadi kenaikan RM5 itu akan dapat membantu kewangan. Walaupun bukan naik sekali ganda tetapi sedikit sebanyak dapat membantu kelab menstabilkan kos operasi,” katanya. -UTUSAN










